Terengganu FC II tumbangkan JDT II

Pasukan Terengganu FC II menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk menewaskan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, Isnin malam.

Skuad kendalian Mustaffa Kamal Abdul Wahab itu, mula mencemaskan gawang pasukan pelawat menerusi percubaan Sebastien Maurice seawal minit ketiga, namun berjaya ditepis penjaga gol JDT II, Muhammad Haziq Nadzli.

Kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan balas sebelum pasukan tuan rumah mendahului perlawanan akibat kesilapan pemain pertahanan JDT II, Muhammad Fazly Mazlan yang tertampan bola ke dalam gawang sendiri pada minit ke-23.

Bermula babak kedua, skuad JDT II berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan Muhammad Hadifayyadh Abdul Razak pada minit ke-68.

Bagaimanapun, serangan bertali arus Terengganu FC II akhirnya membuahkan hasil apabila Muhamad Radhi Mohd Yusof menjaringkan gol hasil sepakan penjuru Mohamad Arif Fadzilah Abu Bakar @ Muhammad pada minit ke-77 untuk mengesahkan tiga mata penuh.

Ia merupakan kemenangan kedua Terengganu FC II dalam tujuh aksi liga setakat ini, selepas menewaskan pendatang baharu dan pasukan yang menduduki tangga tercorot, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM ) FC 2-1 pada 10 Mac lalu.

Kemenangan pasukan tuan rumah itu sekali gus memintas kedudukan Kuantan FA, dengan menduduki tangga  kesembilan carta dengan tujuh mata, manakala JDT II berada di tempat ke-11 dengan tiga mata.

Dalam aksi seterusnya pada 24 April ini, Terengganu FC II akan bertemu Pulau Pinang manakala JDT II  dijadual berdepan Kuantan FA. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *