Jerat Siapakah Yang Akan Mengena, Adakah Mahathir Ataupun Wan Azizah

Sejak pengumuman perlantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri ketujuh sekiranya Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke 14 kelak, ramai yang mempersoalkan keikhlasan PKR terutamanya Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam membuat keputusan berkenaan.

Manakan tidak, umum mengetahui permusuhan yang tercetus antara Mahathir dan Datuk Seri Anwar yang berlangsung selama 18 tahun. Semua pihak mengetahui bahawa kewujudan PKR hari ini adalah disebabkan tindakan Mahathir yang memecat Anwar dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu walaupun pihak mahkamah masih belum lagi memutuskan kesalahan Anwar semasa kes liwat yang pertama.

Hari ini, semua perseteruan berkenaan seolah-olah dilupakan begitu sahaja. Semasa Majlis Presiden Pakatan Harapan memutuskan untuk melantik Mahathir sebagai calon Perdana Menteri dan Wan Azizah pula sebagai timbalannya, ramai yang tertanya-tanya, adakah keputusan ini akan terus berkekalan jika bersandarkan kepada perseteruan panjang antara keluarga Mahathir dan Anwar?

Mungkin secara lahiriahnya, hubungan Anwar dan Mahathir sudah kembali pulih. Namun disebalik semua itu, masih wujud perasaan saling tidak mempercayai antara satu sama lain. Terbaru, memetik satu artikel dari sebuah portal pro Pakatan Harapan, Negara Pakatan Harapan, diberitakan PKR sudah bersedia meletakkan Wan Azizah sebagai Perdana Menteri sekiranya berlaku sesuatu yang buruk terhadap Mahathir.

Di laporkan, dalam satu majlis di Kedah baru-baru ini, Mahathir di dapati tidak sihat dan terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mendapat rawatan lanjut. Keadaan ini telah menimbulkan keraguan di kalangan para pemimpin Pakatan Harapan yang merasakan, ada kemungkinan Mahathir tidak mampu untuk menjalankan tugasnya sebagai Perdana Menteri sekiranya dia dilantik kelak.

Disebalik semua ini, timbul persoalan yang amat besar, jerat siapakah yang bakal mengena kali ini? Mahathir secara amnya, hanya mahu mempergunakan PKR untuk membolehkannya aktif kembali di dalam arus politik perdana setelah parti yang ditubuhkannya sebelum ini, besar kemungkinan akan dibubarkan terus.

Di pihak PKR pula, setelah satu konsesus yang menyaksikan hanya lambang PKR sahaja digunakan pada Pilihan Raya Umum kali ini, Mahathir adalah salah satu faktor utama untuk PKR dan DAP dalam memecahkan undi Melayu. Malah, antara tugas utama yang digalas Mahathir adalah untuk memecah belahkan kaum Melayu terutamanya UMNO. Namun, sehingga hari ini, apa sahaja usaha yang dilakukan Mahathir masih gagal.

Dengan kerapuhan perjanjian yang dimetrai antara Mahathir dan Wan Azizah serta Anwar selaku Ketua Umum Pakatan Harapan, besar kemungkinan, kita akan dapat menyaksikan satu pementasan drama politik antara kedua-dua pemimpin utama Pakatan Harapan kali ini.

Paling utama, kita akan dapat melihat sekali lagi bagaimana helah kedua-dua keluarga ini yang boleh dianggap sebagai keluarga paling kemaruk kuasa di Malaysia bertelagah dan saling cuba menjatuhkan antara satu sama lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *