Berang Lari Rumah, Isteri Ditetak

Akibat berang isteri larikan diri dan meninggalkan rumah sejak beberapa hari lalu,seorang lelaki bertindak diluar kawalan apabila menetak seorang wanita Orang Asli dipercayai isterinya.

Kejadian tersebut menyebabkan wanita terbabit menerima tiga jahitan di kepala selepas ditetak suaminya.

Menurut sumber, mangsa, Ramliah Along, 24, dari Kampung Selyeh, Pos Blau, dikatakan meninggalkan rumah selepas mengetahui suaminya, Mat Rahim, 28, berkahwin lain.

Menurut saksi yang juga sepupu mangsa, Aboy Angah, 46, suspek datang mencari isterinya di rumah kakak mangsa pada jam 12 tengah hari tadi dan terus menetak kepala dari arah belakang.

“Akibat tetakan itu, mangsa rebah dan tidak sedarkan diri. Beberapa minit kemudian, Ramliah sedar dan kami terus bawanya ke Hospital Gua Musang kerana berlaku pendarahan di kepala dan bahu.

“Saya tak sangka suspek akan bertindak sedemikian kerana pada awalnya dia tidak menunjukkan sebarang reaksi pelik.

“Selepas menetak isterinya, suspek terus melarikan diri,” katanya yang turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Isnin.

Dalam pada itu, Ramliah mendakwa, sebelum ini suaminya sering mabuk dan memukulnya berkali-kali tanpa sebab.

“Saya tak tahan kena pukul, jadi saya balik ke rumah ibu bapa saya. Malah, saya turut diberitahu kenalan bahawa suami sudah berkahwin sejak dua bulan lalu.

“Saya ingat dia datang mahu pujuk saya untuk pulang, namun dia bertindak begini. Saya trauma dan takut,” katanya.

Sehubungan itu katanya, suspek diminta tampil ke balai bagi membantu siasatan, manakala Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin sudah mengesahkan laporan polis yang dibuat mangsa.

-PRU14.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *