Tular Rakaman Video Pelajar Sambut Hari Jadi Dipukul

Seorang pelajar dalam video tular yang ‘merelakan’ diri dipukul ketika menyambut hari jadi di sebuah sekolah menengah di sini telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata pelajar tersebut membuat laporan itu di Balai Polis Seksyen 9 di sini kira-kira 8.53 malam Ahad.

“Polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh” katanya dalam kenyataan, Isnin.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada Februari lepas dan difahamkan pihak sekolah telah mengenal pasti kesemua pelajar terlibat serta siasatan terperinci akan dijalankan.

Video berdurasi 29 saat yang tular dalam laman sosial sejak semalam menunjukkan lapan pelajar lelaki termasuk seorang yang dipercayai pengawas, menyepak dan memukul rakan sekelas mereka menggunakan sebatang penyapu sambil menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi.

Cara sambutan hari jadi itu dikatakan menjadi tradisi segelintir pelajar sekolah berkenaan.

-Bernama

 

-PRU14.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *