Tauke Bengkel Dibunuh Pekerja: Dua Pekerja Ditahan, Satu Diburu

Kes bunuh seorang wanita di kedai menjual dan bengkel membaiki lori di Kampung Sri Purnama, Johor Bahru baru-baru ini masih dalam siasatan polis apabila polis masih memburu lelaki warga Indonesia bagi membantu siasatan kes bunuh tersebut.

Memetik sumber, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, setakat ini dua pekerja mangsa sudah ditahan dan mereka adalah lelaki warga Vietnam berusia 20 dan 39 tahun.

Beliau berkata, pihaknya kini berusaha mengesan seorang lagi suspek, lelaki warga Indonesia lingkungan 20-an hingga 30-an yang juga pekerja di syarikat mangsa.

Menurutnya, pihaknya yakin suspek masih berada di negeri ini.

“Polis terus memburunya dan akan pastikan dia tidak dapat pulang ke negara jiran.

Semalam, media melaporkan penemuan mayat Goh Geok Leng, 43, yang juga pemilik syarikat menjual dan membaiki lori dalam keadaan mulut disumbat kain manakala kaki dan tangannya diikat pada kerusi, di dalam lubang di bawah kontena yang dijadikan pejabat syarikat itu.

Kehilangan mangsa disedari pekerjanya selepas mendapati mangsa tiada di tempat kerja namun barangan miliknya masih ada di pejabat.

Pekerja berkenaan membuat laporan polis kerana mengesyaki mangsa diculik selepas mendapati majikannya pergi ke belakang pejabat sebelum menghilangkan diri.

Bedah siasat mendapati punca kematian akibat tekupan dan tekanan pada bahagian leher mangsa.

Kesan kecederaan di bahagian kepala, anggota badan atas dan bawah dipercayai disebabkan hentakan objek tumpul.

Kejadian (bunuh) itu dikatakan dipercayai berlaku apabila pekerja berkenaan mempunyai isu (tidak puas hati) dengan majikan mereka,” menurut ketua polis Johor selepas menyempurnakan Program Derma Darah sempena Hari Polis Ke-211 di sini, hari ini.

-PRU14.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *