Kenapa Mesti Langkawi, Bukannya Kubang Pasu Mahupun Putrajaya?

Semalam, sahlah Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali secara rasminya ke arena politik apabila mengumumkan akan bertanding bagi kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke 14 yang akan datang.

Pengumuman ini sekaligus menamatkan teka teki, kerusi manakah yang akan dipilih Mahathir untuk membolehkannya menjadi Perdana Menteri Pakatan Harapan sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan kelak. Persoalannya, kenapa Parlimen Langkawi bukannya Kubang Pasu mahupun Putrajaya seperti mana yang dia umumkan sebelum ini?

Sebenarnya, tidak sukar untuk memahami kenapa kerusi Langkawi yang dipilih oleh Mahathir. Ini kerana, dia merasakan, rakyat di Parlimen Langkawi masih menyanjungi Mahathir kerana beranggapan, segala kemajuan yang dinikmati di Parlimen berkenaan hasil daripada kerja keras Mahathir yang mahu menyaksikan Parlimen berkenaan berkembang maju sesuai dengan tarafnya sebagai pulau pelancongan.

Hakikatnya, segala kemajuan yang dinikmati di pulau berkenaan bukanlah hasil kerja dia seorang semata-mata. Seperti ucapan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak baru-baru ini, tidak mungkin beliau seorang mampu membangunkan Langkawi jika tidak di bantu oleh sebuah parti yang kuat serta kerajaan yang kukuh.

Itulah hakikat yang perlu diterima oleh semua pihak. Malah, andai benar Mahathir begitu komited membangunkan sesebuah kerusi yang dia kuasai, sepatutnya kerusi Parlimen Kubang Pasu akan menerima impak segera kerana pada ketika itu, Ahli Parlimennya adalah seorang Perdana Menteri. Namun, apa yang disaksikan di Kubang Pasu, tidak banyak bezanya sejak dari dahulu sehingga kini.

Di Putrajaya pula, walaupun Bandar Pentadbiran Negara berkenaan dibina hasil daripada ispirasinya, namun untuk dia kuasai kerusi berkenaan, memang cukup tipis. Ini kerana, kerusi yang dipenuhi oleh kakitangan kerajaan ini sukar ditembusi dengan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur begitu selesa menguasai kerusi inis ejak beberapa penggal yang lalu.

Paling utama yang harus Mahathir akui adalah, seandainya dia bertanding di Langkawi, sudah tentu ianya akan memudahkannya bergabung semula dengan sekutu paling rapatnya, Tun Daim Zainuddin yang umum ketahui sebagai seorang yang “menguasai” Langkawi sejjak sekian lama. Lagipun, mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Mahathir sudah menemui “mesin ATM bergeraknya” jika dia bertanding di kerusi berkenaan.

Inilah percaturan politik Mahathir. Dia tidak akan bertindak atau mengambil keputusan berkenaan sekiranya ia tidak memberi kelebihan kepadanya. Walaupun menyedari, kerusi Parlimen Langkawi bukan calang-calang kerusi yang mahu dikuasainya jika bersandar kepada jumlah majoriti yang diterima oleh Datuk Ir Nawawi pada PRU ke 13 lalu, namun dia tidak memperdulikan semua itu atas keyakinannya yang cukup tinggi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *