PRU14:Gabungan Pembangkang PKR Perkenal Penyelaras Parlimen, DUN Di Kuantan, Indera Mahkota Dan Paya Besar

Gabungan pembangkang PKR malam ini memperkenalkan penyelaras Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan kawasan Kuantan, Indera Mahkota dan Paya Besar dalam majlis Jamuan Makan Malam di sebuah restoran di sini.

Bagi Parlimen Kuantan, penyelarasnya ialah penyandang kerusi berkenaan, Fuziah Salleh (PKR) manakala Setiausaha Angkatan Wanita PAN negeri, Sabrina Md. Yusoff (DUN Tanjung Lumpur), Sim Chon Siang (PKR) (DUN Teruntum) dan Fakhrul Anuar Zulkawi (PKR) DUN Inderapura.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Abdullah pula merupakan penyelaras Parlimen Indera Mahkota, Lee Chean Chung daripada PKR sebagai penyelaras DUN Semambu manakala Naib Pengerusi 3 PAN negeri, Zulkifli Mohamed sebagai penyelaras DUN Beserah.

Bagi Paya Besar, Mohd. Yazid Mohd. Yunus daripada PPBM dilantik penyelaras Parlimen itu, Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR) (DUN Sungai Lembing), Kamarzaman Mohamed Yunus (PKR) (DUN Panching) dan Ketua Pemuda PAN negeri, Nur Addin Ibrahim penyelaras DUN Lepar.

Walaupun tiada pengumuman calon dibuat, namun difahamkan setiap penyelaras Parlimen dan DUN itu turut menjadi calon gabungan pembangkang PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei ini.

Saifuddin ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata, hanya PAN yang telah memuktamadkan calon gabungan itu di Kuantan, Indera Mahkota dan Paya Besar.

“Bagi PKR dan PPBM belum muktamad lagi tapi berkemungkinan setiap penyelaras Parlimen dan DUN menjadi calon,” katanya. – UTUSAN ONLINE

-PRU14.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *