Pembangkang Terus Tohmah Felda Untuk Raih Undi

Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya sekadar mampu ‘menghibur’ golongan peneroka dan orang ramai dengan mengulangi tuduhan terhadap kerajaan dalam ceramah di Felda Bukit Tangga, Changlun malam semalam.

Malah, tindakan beliau melakukan tohmahan tidak berasas dilihat hanya untuk merayu simpati pengundi di Kubang Pasu yang pernah diwakilinya selama lebih 22 tahun.

Beliau antara lain membangkitkan isu hutang yang kononnya membebankan peneroka dengan menjanjikan perkara tersebut akan diatasi walhal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan komitmen terhadap pelupusan hutang peneroka termasuk pewujudan geran khas bagi tujuan penanaman semula sekiranya Barisan Nasional (BN) diberikan mandat untuk terus memerintah pada penggal akan datang.

Selain Dr. Mahathir, ceramah tersebut disertai Pengerusi gabungan pembangkang Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah.

Dalam ceramah yang dihadiri kira-kira 2,000 orang termasuk orang luar daripada kawasan itu yang merupakan penyokong gabungan pembangkang itu, beliau turut menghidangkan hadirin dengan pelbagai serangan peribadi ke atas keluarga Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pelbagai Isu yang menyentuh kehidupan rakyat itu dimainkan dalam ceramah tersebut hanya untuk menarik sokongan pengundi memandangkan Kubang Pasu merupakan kubu kuat BN walaupun Tun Mahathir bersara pada tahun 2003.

Sekalipun mendakwa kebanyakan peneroka terdiri daripada golongan miskin, parti yang diasaskan Dr. Mahathir merayu derma daripada golongan tersebut untuk tujuan perbelanjaan parti bagi menghadapi PRU-14.

Bagaimanapun, tiada pengumuman calon daripada parti pimpinan beliau dibuat seperti diuar-uarkan sebelum ini.

Dalam pada itu, Mukhriz ketika berucap terus -menerus menakutkan pengundi dengan dakwaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan harga minyak akan dinaikkan jika BN mengekalkan kuasa selepas PRU-14. – UTUSAN ONLINE

-PRU14.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *