Akhirnya Fifi Pulang

Seorang gadis bernama Nurfitri Rizal, 13, yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu, selamat pulang ke rumah dalam keadaan selamat, malam semalam.

Menurut sumber, bapanya, Rizal Muny Riz, 37, berkata remaja yang menghilangkan diri dari rumah mereka di Seksyen 8, Kota Damansara, di sini, selepas berselisih faham dengan ibu pada pagi Sabtu lalu itu ditemui di Gombak, lewat malam tadi.

Rizal berkata, Nurfitri yang lebih mesra dipanggil Fifi itu, ditemui di rumah kawan kepada rakan sekolahnya, Liana, yang turut menghilangkan diri.

“Saya dan beberapa ahli keluarga pergi ke rumah rakannya yang lain untuk bertanyakan Fifi sebelum seorang daripada mereka memaklumkan Fifi dan Liana berada di rumah rakan Liana di Gombak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rizal berkata, beliau mencari rumah yang dimaksudkan malam tadi dan menemui Nurfitri dalam keadaan selamat.

“Alhamdulillah, dia ditemui dan tidak apa-apa yang berlaku kepadanya,” katanya bersyukur menemui anak kedua daripada lima beradik itu.

Rizal berkata, Nurfitri memberitahu yang dia tidak tahu untuk pulang ke rumah selepas ditinggalkan Liana di rumah itu.

“Fifi lega dan gembira apabila melihat kami datang,” katanya.

Nurfitri dan Liana dilaporkan menghilangkan diri pada Sabtu lalu sebelum ibu bapa kedua-dua pelajar Tingkatan Satu itu membuat laporan polis keesokan harinya.

-PRU14.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *