Sukan Komanwel: Gimrama Tamatkan Kemarau Emas

Kemarau kilauan emas selama lapan tahun bagi  skuad gimrama negara ke Sukan Komanwel diakhiri oleh Amy Kwan Dict Weng pada Jumaat yang merangkul pingat emas bagi acara riben pada temasya Sukan Komanwel Gold Coast di sini.

Kali terakhir skuad gimrama menyumbang emas kepada kontinjen negara ke Sukan Komanwel ialah pada 2010 di New Delhi, India menerusi Elaine Koon dalam acara gelung.

Amy, 23, mengumpul 13.200 mata untuk membolehkan lagu ‘Negaraku’  berkumandang di Coomera Indoor Sports Centre, di sini.

Kejayaan itu bertambah manis apabila seorang lagi gimnas negara Koi Sie Yan menyumbang gangsa bagi acara berkenaan manakala pingat perak milik atlet Cyprus, Diamanto Evripidou.

Mengulas kejayaannya, Amy  yang mengakui rapat dengan Elaine, berkata beliau sering menerima galakan daripada bekas gimnas negara itu yang kini telah berhijrah ke Korea Selatan.

“Kami memang rapat dan seperti pasangan terbaik semasa sama-sama belajar di SJK (C) Yu Hua sebelum masuk ke SMK Serdang Baru dan seterusnya ke Sekolah Sukan Bukit Jalil.

“Elaine selalu tinggalkan pesanan ringkas untuk beri semangat kepada saya dengan mengatakan saya mampu lakukan dan tiada yang mustahil untuk saya raih pingat,” katanya selepas tamat persembahan.

Menurut Amy  beliau sendiri  tidak menduga mampu meraih emas selepas memenangi pingat gangsa dalam acara gelung sebelum itu.

Menurut anak kelahiran Kajang, Selangor itu beliau pada awalnya agak kecewa selepas hanya berada di kedudukan keempat rutin belantan walaupun menyifatkan persembahannya dalam acara berkenaan adalah yang terbaik pernah dilakukannya.

Bagaimanapun beliau bangkit dalam acara riben selepas menerima kata-kata semangat daripada jurulatih Lidia Legotina.

Bagi acara gelung, pingat emas dimenangi oleh Diamanto dan pingat perak diraih gimnas Wales, Laura Halford.

Menurut Amy selepas ini beliau akan menyertai Kejohanan Asia Gimrama Senior ke-10  di Kuala Lumpur bermula  31 Mei hingga 3 Jun ini sebelum turun beraksi di Sukan Asia Indonesia.  – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *