PRU14: Pengundi Melayu Digunakan DAP Untuk Berkuasa

Ahli Jawatankuasa MCA Pusat, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, atas faktor berkenaan, DAP kini bekerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun suatu ketika dahulu cukup membenci kedua-dua pemimpin berkenaan yang dituduh rasuah dan mengamalkan pemerintahan kuku besi.

Katanya, pemimpin DAP khususnya Lim Kit Siang juga sebelum ini langsung tidak mempedulikan undi orang Melayu kerana dasar perkauman yang diamalkan parti berkenaan.

“Sikap hipokrasi ini perlu didedahkan kerana perbuatan adu domba yang sering mereka (DAP) lakukan akan menyebabkan negara tidak tenteram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ceramah isu semasa bersama Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya dan Pemangku Ketua Pemuda Gerakan negeri, Jason Loo malam semalam.

Katanya, orang Melayu juga perlu waspada kerana DAP juga menggunakan strategi pemimpin PAP di Singapura, Lee Kuan Yew yang membuatkan orang Melayu bergaduh sesama sendiri.

Pada masa sama, Lian Ker berkata, sikap hipokrit DAP semakin terserlah selepas dua penggal diberikan peluang untuk memerintah negeri ini.

Katanya, slogan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang dilaungkan juga tidak dipraktikan apabila banyak persoalan melibatkan kepentingan rakyat negeri ini tidak dijawab.

“Dalam kontroversi projek terowong dasar laut, MCA mengemukakan pelbagai persoalan namun Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak menjawab,” katanya.

Berhubung pilihan DAP yang mahu menjadikan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, Lian Ker berkata, keputusan berkenaan turut menonjolkan sisi hipokrasi DAP.

Justeru, pengundi Melayu dinasihatkan tidak terpengaruh dengan agenda DAP yang kini menggunakan kaum itu semata-mata untuk mendapatkan kuasa di peringkat Pusat.

-PRU14.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *