PRU14 :Rundingan Pakatan Harapan 6 kerusi DUN Di Selangor Selesai

Pakatan Harapan (PH) akhirnya memuktamadkan baki 6 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang menjadi rebutan 4 parti pembangkang itu, kata Dr Xavier Jayakumar.

Memetik sumber, Pengarah pilihan raya PH Selangor itu berkata, PKR “memberi tawaran” kepada 3 sekutu lain dan terpulang kepada mereka jika mahu menerimanya.

Bagaimanapun, beliau enggan menjelaskan “tawaran” yang dikemukakan PKR dan 6 kerusi itu dibahagikan kepada parti mana.

“Ia sudah selesai. Menurut PKR, kita sudah beri tawaran dan sebagainya dan terserah kepada parti lain untuk ambil tawaran itu.

“Untuk PKR, kami putuskan kerusi (6 kerusi DUN) itu sudah selesai,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Enam kerusi yang menjadi rebutan antara 4 parti pembangkang itu adalah Seri Serdang, Lembah Jaya serta Dusun Tua yang kini dipegang PAS, manakala Sungai Panjang, Sungai Burong dan Kota Damansara milik Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini, Pengerusi PAN Selangor, Izham Hashim dilaporkan berkata, PKR akan bertanding sekurang-kurangnya 19 daripada 56 kerusi DUN di Selangor.

DAP pula dikatakan akan bertanding di semua 15 kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), manakala Amanah diperuntukkan 9 kerusi dan PPBM 7 kerusi.

Pada PRU13, DUN Seri Serdang dimenangi PAS menerusi Noor Hanim Ismail dengan majoriti 16,251 undi, manakala Khasim Abdul Aziz yang mewakili PAS menang di DUN Lembah Jaya dengan kelebihan 8,713 undi dan Razaly Hassan daripada parti Islam itu menang di Dusun Tua dengan majoriti 4,071 undi.

DUN Sungai Panjang pula dimenangi calon BN, Budiman Mohd Zohdi dengan kelebihan 2,193 undi, DUN Sungai Burong dimenangi Datuk Samsudin Lias dengan majoriti 3,013 undi dan Datuk Halimaton Saadiah Bohan memenangi kerusi DUN Kota Damansara dengan kelebihan 1,527 undi.

-PRU14.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *