Perdana Menteri Malaysia Harus Dipegang Muslim Sahaja – Mufti WP

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan bahawa jawatan tertinggi kepimpinan negara terutama Perdana Menteri hanya harus dipegang oleh Muslim sahaja.

Memetik sumber, beliau selanjutnya menambah dalam konteks Malaysia selain Perdana Menteri, hanya orang Islam yang dibenarkan untuk memegang jawatan penting terutama berkaitan portfolio hal ehwal Islam dan urusan pertahanan negara.

Bagaimanapun jelas Zulkifli lagi, hukum asal untuk masyarakat Islam mengundi calon bukan Muslim dalam proses pilihan raya secara demokrasi dan melantik mereka sebagai pemimpin kerajaan sebenarnya adalah harus.

Namun ujarnya, hukum mubah itu dikecualikan apabila terdapat sifat mendatang seperti memberi ancaman kepada kemuliaan syiar Islam, tiada sifat amanah dan tidak ada kepakaran dalam melaksanakan tugas diamanahkan.

“Ia adalah kekal disandang orang Muslim yang berkelayakan sahaja,” tegas Zulkifli dalam catatan terkini menerusi laman sosial Facebook Mufti Wilayah Persekutuan dan mungkin merujuk isu pilihan raya umum (PRU) ketika ini.

Dalam pada itu katanya, hasil penelitian juga mendapati, tiada dalil qath’ie (muktamad) yang melarang untuk orang Islam mengundi calon bukan Muslim dalam PRU di Malaysia dan kemudian melantik mereka sebagai pemimpin.

“Ayat-ayat al-Quran yang selalu dijadikan hujah untuk haramkan pemilihan bukan Muslim sebagai wakil rakyat, apabila diteliti sebenarnya merujuk kepada orang kafir yang jelas terbuka memusuhi Islam dan penganutnya.

“Adapun bagi golongan bukan Muslim tidak bermusuh dengan Islam dan patuh kepada Perlembagaan Negara yang meletakkan martabat Islam sebagai agama Persekutuan, maka larangan tersebut adalah tidak terpakai,” katanya.

Dalam pada itu kata Zulkifli, hal berkenaan juga termasuk di bawah topik siyasah syar’iyyah bagi pemerintah untuk membenarkan pencalonan atas dasar maslahat kepentingan kumpulan minoriti bukan Islam di negara Islam.

“Tanpa menafikan bahawa pandangan majoriti ulama silam bertegas mengharamkan pelantikan individu non-Muslim sebagai pemimpin dan hukum keharusan itu hanya diberikan apabila terdapatnya keadaan darurat.

“Ini dapat difahami memandangkan konteks hubungan antara Muslim dan non-Muslim pada waktu tersebut adalah berbeza dengan suasana sekarang,” tambah beliau lagi.

Justeru, kesemua faktor seperti yang dikatakan haruslah diambil kira dalam membuat keputusan sebelum mengundi dan memilih, selain memastikan jawatan tertinggi negara seperti Perdana Menteri, portfolio hal ehwal Islam dan pertahanan negara.

-PRU14.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *