Janji Pendidikan Percuma Hanya Impian Yang Mengarut

Sejak dua Pilihan Raya Umum yang lalu, baik Pakatan Rakyat mahupun Pakatan Harapan, mereka kerap kali melaungkan dasar pendidikan percuma kepada rakyat bagi memancing undi dalam setiap manifesto yang dibentang oleh mereka. Dakwa mereka, negara menjana pendapatan berbilion setahun dan adalah tidak salah sekiranya pendidikan percuma diberikan kepada anak-anak yang masih menuntut.

Bunyinya macam menarik namun berapa ramai yang sedar, andai perkara ini dilakukan, pasti ada impak sebaliknya yang akan berlaku? Benar, kerajaan mampu menjana ekonomi negara dan mencatatkan pertumbuhan yang amat memberansangkan. Namun, adakah disebabkan kejayaan kerajaan ini menjadi lesen besar untuk mereka menghabiskan semua hasil yang diperoleh kerajaan untuk negara bagi membuat sesuatu yang tidak masuk akal?

Mari kita tinjau beberapa buah negara yang mengamalkan dasar pendidikan percuma seperti yang diperjuangkan oleh pembangkang. Sekitar tahun 2017, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dalam manifestonya tertulis, kerajaan yang dipimpin olehnya akan melaksanakan dasar pendidikan percuma kepada seluruh pelajar sekiranya dipilih oleh rakyat Jepun.

Namun, baru-baru ini, beliau menyedari, dasar yang cuba dilaksanakan ini akan menjahanamkan ekonomi Jepun itu sendiri. Manakan tidak, apa yang paling dibimbangkan oleh ramai pemerhati politik di seluruh dunia tentang kemerosotan mendadak dan kerosakan ekonomi Jepun, nyata menjadi kenyataan. Dianggarkan, kerajaan Jepun akan mengalami kerugian mencecah angka USD 37.5 bilion setahun.

Ianya satu angka yang cukup besar untuk ditanggung oleh Jepun yang mana cukai yang bakal dikenakan pasti akan meningkat dengan mendadak bagi mengatasi jumlah defisit yang cukup tinggi ini. Semestinya, Abe tidak mahu menanggung risiko kehilangan jawatannya hanya disebabkan polisi pendidikan percuma yang dilaungkannya sebelum Abe dipilih untuk menjadi Perdana Menteri Jepun.

Menariknya, beberapa buah negara yang turut menawarkan pendidikan percuma, turut berhadapan dengan masalah yang sama seperti mana masalah yang bakal dihadapi oleh Jepun. Negara-negara seperti Jerman, Sweden dan Finland, adalah negara yang memberikan pendidikan percuma kepada rakyatnya.

Hakikatnya, negara-negara ini mengenakan kadar cukai antara yang paling tinggi di dunia sehingga mencecah angka 50 peratus. Walaupun secara zahirnya kita nampak mereka berada sebagai sebuah negara maju di Eropah, hakikatnya, segala perbelanjaan mereka juga cukup tinggi sesuai dengan kadar cukai yang dikenakan oleh kerajaan-kerajaan berkenaan.

Adakah kita mahu semua perkara ini terjadi di negara ini? Hakikat sebenar yang sengaja disembunyikan pembangkang adalah, kerajaan sebenarnya sudah lama melaksanakan dasar pendidikan percuma pada para pelajar di seluruh negara terutamanya di peringkat rendah dan menengah. Jika ada sekalipun bayaran yang terpaksa di bayar adalah yuran PIBG yang tidak diwajibkan kepada ibu bapa untuk menyumbangnya.

Walaupun kerajaan sudah melaksanakan pendidikan percuma ini, namun kadar cukai yang dikenakan masih minima. Paling utama, walaupun hampir 90 peratus percuma, tiada sebarang kenaikan cukai dilaksanakan kerajaan. Malah, hampir setiap kali pengumuman Bajet, pasti ada pengumuman penurunan kadar cukai dilaksanakan oleh kerajaan.

Justeru, ingin ditanyakan kepada pembangkang. Mampukah mereka melaksanakan dasar pendidikan percuma 100 peratus sedangkan di Jepun sendiri pun tidak mampu melaksanakannya? Adakah mereka akan menekan rakyat menerusi kenaikan cukai bagi menampung kos pendidikan percuma ini? Mereka boleh menjanjikan itu begini, namun untuk melaksanakannya, ianya terlalu mustahil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *