Berbaloikah Bonus 3 Bulan Dengan Penderitaan 5 Tahun?

Semalam, secara tiba-tiba, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali mengumumkan pemberian bonus tiga bulan gaji kepada penjawat awam di Selangor. Perkara ini terkandung di dalam Manifesto PKR Selangor dan ramai yang melihat, pengumuman ini hanya bersifat populis semata-mata tanpa menyentuh kepada seluruh rakyat Selangor secara amnya.

Di Selangor hari ini, terdapat kira-kira lebih 22 ribu orang penjawat awam dan mereka semua mungkin akan menikmati bonus berkenaan sekiranya PKR masih mampu mempertahankan kerajaan mereka. Namun, persoalannya, adakah berbaloi, bonus 3 bulan kepada kesemua penjawat awam ini kepada kira-kira 6.5 juta penduduk di Selangor?

Umum sedia maklum bahawa negeri Selangor kerap kali menerima musibah yang tidak dijangka sepanjang Pakatan Harapan mentadbir negeri ini. Paling diingati adalah, masalah bekalan air yang kerap terganggu sehingga mengakibatkan jutaan warga Selangor terutamanya yang tinggal di kawasan bandar, terkesan dengan masalah ini.

Boleh dikatakan, dalam setahun, lebih 20 kali masalah ini berlaku dan ada diantaranya tidak menerima bekalan air bersih lebih seminggu. Bagi pihak kerajaan Selangor pula, mereka lebih senang menyalahkan kerajaan pusat dari memikul masalah ini. Sehinggakan, rakyat Selangor sendiri tidak faham, apa fungsi kerajaan negeri dalam menangani masalah air bersih ini.

Disamping masalah air, satu lagi masalah yang membelenggu negeri Selangor adalah masalah penyakit denggi. Sehingga kini, Selangor merupakan negeri tertinggi penghidap denggi di negara ini. Sebenarnya, masalah demam denggi ini bukanlah suatu perkara yang mengejutkan kerana di kebanyakan tempat, masalah sampah sarap kerap kali tidak ditangani dengan berkesan oleh Pihak Berkuasa Tempatan di bawah kerajaan negeri.

Justeru, bukan saatu perakra yang mengejutkan apabila Selangor menjadi penyumbang utama kepada statistik kes pesakit denggi di negara ini. Tidak ketinggalan juga, masalah jalan raya yang tidak diselanggara dengan sepatutnya, masalah pekerja asing tanpa izin, siri banjir kilat dan banyak lagi masalah yang sama sekali gagal ditangani oleh Azmin dan kerajaan negeri Selangor.

Ingin ditanyakan, adakah berbaloi dengan jumlah bonus 3 bulan gaji buat penjawat awam di Selangor sedangkan lebih 6 juta lagi penduduk menanggung kesan akibat kelemahan dan kegagalan kerajaan negeri ini berfungsi? Adakah rakyat akan termakan dengan jumlah bonus yang diumumkan sedangkan yang lain, hanya mampu melihat kegembiraan penjawat awam yang memperolehi laba hasil daripada pilihan mereka?

Setidak-tidaknya, jumlah kenaikan Bantuan Rakyat 1 Malaysia yang diumumkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, sampai pada sasaran yang memerlukan. Ianya disifatkan jauh lebih menyeluruh berbanding apa yang diumumkan Azmin sebelum ini. Tidak guna menjulang imej sebagai negeri termaju di Malaysia sekiranya masalah rakyat sendiri gagal untuk diatasi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *