[VIDEO] Bandar Belia Di Ketereh Yang Perlu Dirancang Dengan Teliti

Ketereh adalah salah satu daripada empat kawasan Parlimen dalam jajahan ini. Lokasinya terletak dalam perjalanan antara Machang ke ibu negeri ini.

Pekannya kecil tetapi dilengkapi dengan restoran makanan segera yang besar, manakala jalannya sesak terutama ketika waktu puncak atau cuti umum sehingga ada yang tidak lalu untuk me­nempuh kesesakan tersebut.

Biarpun pekan tersebut tidak besar tetapi kawasan itu hampir sempurna dengan dilengkapi kemudahan institusi pendidikan sehingga ke peringkat tertinggi.

Politeknik, Kolej Matrikulasi, Kolej Komuniti serta Giat Mara Primier telah tersedia manakala Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab akan dibina. Malah dalam perancangan pe­mimpinnya, Tan Sri Annuar Musa, politikeknik akan ditransfomasikan menjadi universiti teknikal.

Semua ini tidak datang bergolek jika tidak ada usaha keras dan perancangan teliti pemimpin kawasan tersebut kerana Ketereh seluas kira-kira 155 kilometer persegi itu tidak seperti kawasan lain yang mempunyai pusat pelancongan atau perbandaran.

Justeru, pembangunan institusi pendidikan terbabit menjadi pemangkin kepada pekan kecil itu menjadi sebuah kawasan perbandaran yang memberikan limpahan rahmat kepada penduduknya.

Pembangunan itu tidak terhenti di situ sahaja kerana Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh mempunyai visi yang lebih besar dalam tempoh 10 tahun akan datang untuk kawasan tersebut.

Kata Annuar, Ketereh perlu ditransformasikan sebagai sebuah jajahan kecil dan seterusnya menjadi jajahan yang mempu­nyai pentadbiran sendiri, bukan lagi di bawah Kota Bharu bagi memastikan kawasan tersebut dapat dibangunkan sepenuhnya.

Beliau yang lebih lima penggal terlibat dalam politik di kawasan itu berkata, perkara tersebut akan menjadi lebih mudah sekiranya Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan negeri.

“Kekuatan Ketereh kerana mempunyai empat jalur laluan dari Utara ke Selatan yakni Kota Bharu menghala Ke Kuala Lumpur atau Terengganu termasuk pembinaan lebuh raya Kota Bharu – Kuala Krai dengan empat susur keluar di kawasan ini memberikan impak yang besar.

“Sebagai seorang wakil rak­yat, pemimpin kanan politik dan perancang bandar, saya menggabungkan ketiga-tiga ini untuk mewujudkan sebuah kawasan perbandaran baharu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hasrat beliau adalah untuk membina sebuah stadium dan gelanggang silat atau Muay Thai bertaraf antarabangsa bagi menjadikan Ketereh sebagai bandar pelancongan sukan.

“Seperti di Bukit Jalil, apabila kawasan tersebut dilengkapi dengan prasarana sukan maka secara tidak langsung tekanan pasaran akan mewujudkan perumahan dan pelbagai kemudahan soko­ngan. Kita mahu membina bandar belia.

“Kedua-dua projek ini akan menjadi katalis kepada Ketereh dan perkara ini mampu dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun, manakala prasarana lain seperti perumahan dan pusat kesihatan dapat dibina dalam tempoh lima tahun sahaja, tidak perlu me­nunggu lama,” katanya.

Pun begitu Annuar berkata, hakikatnya kemajuan kawasan tersebut tidak perlu hanya dilihat melalui aspek fizikal kerana sudah banyak dilaksanakan.

“Satu perkara yang saya sangat bangga adalah gagasan yang saya bawa mengutamakan masyarakat ber­satu. Di Parlimen Ketereh ini kita ada moto Koridor Ilmu, Rak­yat Bersatu, Ketereh Maju.

“Empat teras utama dalam menjayakan moto ini ialah prasarana jalan perhubungan, institusi pengajian, institusi masjid dan keperluan perumahaan rakyat,” katanya.

Tambahnya, jalan menjadi tulang belakang kepada pembangunan, institusi pengajian telah terbina dan dilengkapkan dengan MRSM Ulul Albab yang melahirkan generasi hufaz yang mahir dalam ilmu akademik, manakala institusi masjid akan menjadi lokasi pengembangan ilmu agama serta perumahan rakyat. – UTUSAN ONLINE

-PRU14.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *