Rakyat Yakin Jaminan BN Selesaikan Masalah Di Selangor

Rakyat Selangor yakin dengan komitmen serta jaminan Barisan Nasional (BN) untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka dalam tempoh 10 tahun di bawah pentadbiran gabungan pembangkang PKR di negeri ini.

Berdasarkan tinjauan orang ramai di beberapa kawasan di ne­geri ini, rata-rata mereka menyambut baik rancangan BN Selangor menerusi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) parti itu untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka selama ini seperti isu bekalan air yang jelas menjejaskan kehidupan harian.

Seorang penduduk, Khairul Yusrizar Mokhtar, 45, membe­ritahu, dia merasa lega kerana BN Selangor memberi perhatian me­ngenai masalah bekalan air rakyat dengan janji untuk menyegerakan penstrukturan semula industri air negeri ini termasuk meneruskan pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu.

‘‘Malah, saya turut dimaklumkan bahawa selain air percuma, BN Selangor menjanjikan rebat penggunaan bekalan air di bawah 40 meter padu yang dapat meringankan beban rakyat nanti,’’ katanya di sini hari ini.

Sambutan positif terhadap manifesto BN Selangor itu turut dinyatakan seorang lagi penduduk bandar raya ini, Mohamad Shariman Salleh, 31, apabila beliau bersetuju dengan janji parti itu untuk mengembalikan Stadium Shah Alam di Seksyen 13 sebagai gelanggang rasmi pasukan bola sepak Selangor atau The Red Giants.

Sebagai rakyat Selangor, kita sebenarnya terkejut dengan tindakan kerajaan negeri sebelum ini yang tidak membenarkan The Red Giants bermain di Stadium Shah Alam.

Melihat daripada manifesto BN Selangor itu, ia memberi harapan kepada rakyat negeri ini khusus­nya para peminat bola sepak untuk melihat pasukan negeri ini beraksi semula di Stadium Shah Alam.

‘‘Rakyat Selangor mahu melihat pasukan kesayangan mereka bermain di Stadium Shah Alam, itu sahaja. Mengapa pula Menteri Besar sebelum ini, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan perkara itu dengan memberikan pelbagai alasan.

‘‘Walhal, 15,000 rakyat Sela­ngor telah menandatangani me­morandum supaya The Red Giants bermain semula di stadium itu tetapi pandangan rakyat tidak diendahkan,” jelasnya.

Sementara itu, seorang usahawan dari Kuala Langat, Khaidir Baharuddin, 30, berkata, manifesto yang diumumkan BN Selangor pada Ahad lalu dianggap yang terbaik berbanding manifesto yang dibentangkan oleh parti-parti lain sebelum ini terutamanya dalam soal kesejahteraan hidup rakyat.

Katanya, janji BN Selangor se­perti memberikan pendidikan percuma di semua Sekolah Rendah Agama (SAR), perumahan untuk rakyat sebanyak 140,000 unit, menyediakan dana khas kepada usahawan kecil, insentif 10 peratus pembelian rumah pertama dan sebagainya dijangka memberi manfaat kepada rakyat untuk semua kaum.

‘‘Melihat prestasi BN yang menunaikan 97.6 peratus janji pi­lihan raya umum lalu di peringkat pusat, maka kita yakin prestasi yang sama akan ditunjukkan oleh parti itu di Selangor dalam tempoh lima tahun selepas PRU-14 nanti,’’ ujarnya.-utusanonline

-PRU14.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *