PRU14: ‘Gelombang Biru’ Orang Muda

Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi dibanjiri ‘gelombang biru’ orang muda bersempe­na pelancaran manifesto Pemuda Barisan Nasional (BN) dinamakan sebagai Jaminan Orang Muda demi membela golongan itu melalui Pi­lihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Laungan dan sorakan BN Hebat, Orang Muda Hebat dan Jom BN bergema di segenap ruang Dewan Merdeka hasil kehadiran le­bih 5,000 ahli Pemuda dan Puteri BN serta daripada ahli kira-kira 78 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan-persatuan belia.

Kesemua mereka datang bagi mendengar sendiri manifesto Jaminan Orang Muda yang dilancarkan oleh Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin.

Yang hadir sama dalam pelancaran tersebut ialah Timbalan Pengerusi Pemuda BN, Khairul Azwan Harun; Naib Pengerusi Pemuda BN, Datuk Chong Sin Woon dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Menurut sumber, kesemua inisiatif yang ditawarkan Pemuda BN menerusi jaminan tersebut dilihat sangat menambat hati orang muda terutamanya yang mendapat sorakan paling gemuruh adalah inisiatif untuk menambah peluang pekerjaan dan bantuan perkahwinan kepada golongan muda.

Lapan jaminan ditawarkan Pemuda BN menerusi manifesto itu bagi golongan muda untuk tempoh lima tahun meliputi semua orang muda tidak kira dari bandar atau luar bandar, sama ada be­kerja di sektor kerajaan mahupun swasta.

Jaminan tersebut adalah penyediaan pekerjaan dan latihan orang muda; meningkatkan pendapatan dan kemahiran pekerja muda; memperkasa ekonomi belia luar bandar dan memudahkan usahawan muda mendapat bantuan, meringankan beban keluarga muda; menyediakan kehidupan berkualiti; memastikan peluang untuk segenap segmen dan mengangkat idea generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

-PRU14.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *