Tiada Lagi Keputusan Rasmi Mahathir Bertanding Di Langkawi

Belum ada keputusan rasmi sama ada Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad akan bertanding di Langkawi dan ia mungkin akan diketahui pada hujung minggu ini.

Sumber dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengesahkan perkara itu sudah dibincangkan, namun belum ada keputusan rasmi dibuat setakat ini.

“Ya, sememangnya Langkawi adalah kerusi paling ideal untuk Dr Mahathir bertanding, tetapi setakat ini belum ada keputusan rasmi walaupun memang ada perbincangan.

“Mungkin beliau akan mengumumkan dalam masa terdekat. Bagaimanapun, mengikut perancangan asal, senarai calon PPBM untuk semua kerusi Parlimen akan diumumkan di peringkat Pusat,” menurut sumber itu bagi mengulas laporan Dr Mahathir akan bertanding di Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sementara itu, satu sumber dalaman PPBM tidak menolak kemungkinan Dr Mahathir akan membuat pengumuman di Langkawi hujung minggu ini.

“Beliau akan berada di Bukit Tangga dalam Parlimen Kubang Pasu pada Jumaat malam sebelum ke Langkawi keesokannya.

“Mungkin beliau akan memilih untuk membuat pengumuman ketika berada di sana,” katanya.

Sebelum ini, Dr Mahathir dikatakan turut mempertimbangkan kerusi Kubang Pasu dan Putrajaya.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan Pengerusi PPBM itu sah akan bertanding di Langkawi.

Kerusi Langkawi disandang Datuk Ir Nawawi Ahmad, yang juga Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi menewaskan calon PKR, Ahmad Abdullah dengan majoriti lebih 11,000 undi pada pilihan raya umum lima tahun lalu.-BHonline

-PRU14.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *