Tengku Putra Tetap Sokong BN Jika Tidak Tercalon

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Abdul Hamid Jumat memberi jaminan akan terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) walaupun sekiranya tidak tercalon semula pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya tidak tahu sama ada dicalonkan semula atau tidak. Itu semua saya serahkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak). Apa yang wajib bagi saya adalah berkhidmat kepada pucuk pimpinan.

“Sekiranya diberi peluang, saya sentiasa bersedia. Ini kerana menjadi seorang wakil rakyat perlu mempunyai semangat untuk berkhidmat demi rakyat,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Bahasa Inggeris Negeri Johor 2018 di Hotel M. Suites, di sini hari ini.

Ditanya mengenai manifesto BN, beliau berkata ia merupakan manifesto yang bagus namun apa yang lebih penting, setiap wakil rakyat dapat memainkan peranan masing-masing dalam memberikan perkhidmatan terbaik.

“Ini merupakan manifesto yang sangat baik tetapi apa guna manifesto yang gilang-gemilang andai wakil rakyat tidak memainkan peranan masing-masing. Sebab itu, bagi saya setiap wakil rakyat wajib memberi tumpuan di kawasan masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengaku akan sentiasa akur terhadap segala keputusan pucuk pimpinan kerana apa yang lebih utama adalah untuk memastikan BN terus mendapat sokongan rakyat.

-PRU14.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *