Sukan Komanwel: Malaysia Tak Tentu Hala – Kim Her

Emosi bekas jurulatih beregu negara, Tan Kim Her, berkecamuk sewaktu meraikan kejayaan membantu India mencipta sejarah dengan memenangi pingat emas sulung badminton berpasukan campuran Sukan Komanwel Gold Coast, semalam.

Senyuman Kim Her selepas India diraikan di podium membawa seribu erti memandangkan dia tahu situasi yang dirasakan skuad Malaysia.

Kim Her menegaskan dalam situasi seperti itu, dia perlu bersikap profesional sebagai jurulatih skuad India tanpa mengira berapa kali Malaysia kecewa di tangan mereka.

“Saya gembira kerana India memenangi pertemuan ini tetapi secara jujur, sudah tentu di dalam hati saya juga mengharapkan kemenangan buat Malaysia.

“Saya perlu profesional dengan kerja saya dan hanya menjalankan tanggungjawab,” katanya.

Kim Her yang bertanggungjawab meningkatkan kualiti skuad beregu India secara keseluruhan, tidak menjangka India menang 3-1.

Pada pengamatannya, Malaysia sebenarnya menjerat diri sendiri sebelum tersungkur.

“Kami berharap dapat mencuri satu mata daripada acara beregu tetapi apa yang penting adalah bahagian awal (beregu campuran).

“Tiba-tiba, wakil Malaysia tampak seperti hilang arah dan saya mengarahkan pemain-pemain India untuk terus menggunakan kesempatan itu bagi menewaskan mereka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *