Dr Tan Seng Giaw Digugurkan Bertanding Di Parlimen Kepong

Ahli Parlimen DAP, Dr Tan Seng Giaw sebelum ini merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tetap teguh berpegang kepada kenyataan beliau bahawa laporan PAC tentang syarikat 1MDB tidak melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Itu pandangan saya berdasarkan laporan PAC mengenai 1MDB. Saya berpendapat kamu perlu kemukakan bukti untuk kami mengaitkan pembabitan seseorang.

“Kegagalan berbuat demikian akan menjadikan (tuduhan) itu palsu,” katanya dalam portal pro-pembangkang, Malaysiakini.

Dr Tan merupakan penyandang kerusi Ahli Parlimen Kepong mengulas adakah keputusan itu mengatakan bahawa Najib tidak melakukan sebarang kesalahan dalam 1MDB menjadi sebab beliau digugurkan daripada bertanding sebagai calon Parlimen Kepong untuk PRU14.

Malam tadi, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan penyandang kerusi Parlimen Segambut Lim Lip Eng akan menggantikan Dr Tan di Kepong dan bekas Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh akan bertanding di Parlimen Segambut.

“Tidak kisahlah apa yang menyebabkan saya digugurkan sebagai calon Kepong, kamu perlu mengemukakan hujah untuk menyokong dakwaan kamu dengan bukti.

“Pihak muktamad yang akan memutuskan ialah mahkamah.

“Saya membaca laporan PAC, apa yang saya temukan (bekas) ketua pegawai eksekutif 1MDB (Shahrol Azral) telah dikaitkan terlibat, tetapi saya bersetuju siasatan lanjut perlu dibuat kerana ia melibatkan dana orang ramai,” kata beliau.

Dr Tan berkata beliau membuat kenyataan berkenaan 1MDB dalam keadaan sedar dan tanpa dipaksa.

Laporan PAC mengenai 1MDB setebal 106 halaman itu mengesyorkan pihak berkuasa menyiasat bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat pelaburan negara itu, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pihak lain yang berkaitan.

Najib yang pada ketika itu menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB berkata laporan PAC itu tidak menyebut beliau terbabit dalam sebarang salah laku.

Tahun sebelumnya, Dr Tan merupakan satu-satunya anggota parlimen DAP yang tidak hadir pengundian Bajet 2016 di Dewan Rakyat.

Beliau berkata terlepas pengundian tersebut kerana menonton liputan berita di televisyen mengenai serangan pengganas di Paris.

Ketika ditanya jika ketidakhadiran beliau di parlimen ketika itu menyebabkan beliau digugurkan, beliau tidak memberikan jawapan secara langsung.

Dr Tan berkata tiada sesiapa yang memaklumkan kepada beliau pengundian akan berlangsung pada hari tersebut.

Pada pilihan raya umum lalu, Dr Tan mempertahankan kerusi Kepong dengan majoriti 40,307 undi menewaskan dua pencabar, calon PPP A Chandrakumanan dan calon bebas Yee Poh Ping.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *