Ada Masalahkah Dengan Hari Rabu?

Sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum ke 14 yang jatuh pada 9 Mei bersamaan hari Rabu, riuh rendah di media sosial mahupun di kalangan mereka yang “membawang” di kedai-kedai kopi yang menghentam keputusan SPR yang disifatkan sengaja mahu menyusahkan pengundi.

Malah ada dakwaan mengatakan, SPR sengaja meletakkan hari Pilihan Raya Umum pada hari bekerja kerana ingin menghalang pengundi yang merantau jauh dari kampung halaman untuk pulang mengundi dan ini memberi kelebihan kepada Barisan Nasional untuk memenangi Pilihan Raya Umum kali ini. Belum apa-apa lagi sudah mencipta berita liar yang langsung tidak masuk akal.

Mungkin, ada benarnya pendapat sesetengah pihak yang mendakwa, hari mengundi yang jatuh pada hari bekerja sememangnya akan menyusahkan anak perantau untuk pulang ke kampung halaman bagi menjalankan tanggungjawab mereka kepada negara.

Hakikat sebenarnya, negara telah menyaksikan sebanyak 5 kali hari mengundi jatuh pada hari bekerja dengan 3 kali jatuh pada hari Ahad yang mana negeri Kelantan, Perlis dan Kedah adalah hari bekerja. Selebihnya, jatuh pada hari Sabtu yang mana pada Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu juga, hari mengundi jatuh pada hari Sabtu.

Mari kita lihat senarai penuh hari mengundi yang jatuh pada hari bekerja. Pada Pilihan Raya Umum yang pertama (1955), hari mengundi jatuh pada hari Rabu. Kemudian, pada PRU ke 6 (1982), hari mengundi jatuh pada hari Khamis. Begitu juga dengan PRU ke 9 (1995) yang turut jatuh pada hari Khamis. Pada PRU ke 10 (1999) pula, hari mengundi jatuh pada hari Selasa.

Bagi negeri Kedah, Perlis dan Kelantan pula, mereka pernah terpaksa mengambil cuti pada Pilihan Raya Umum ke 7 (1986), PRU ke 8 (1990) dan PRU ke 11 (2004). Melihat kepada semua fakta ini, adakah menjadi masalah sekiranya SPR mengambil keputusan untuk menetapkan 9 Mei bersamaan hari Rabu sebagai hari mengundi buat lebih 14 juta pengundi berdaftar di seluruh negara?

Sebenarnya, ia tidak ada kena mengena dengan politik kerana harus diingat, SPR adalah satu badan bebas yang bertindak di bawah kuasa yang tertakluk kepada mereka. Mereka sudah melakukan pertimbangan sewajarnya apabila menetapkan hari mengundi jatuh pada hari bekerja yang mana di negara ini, undi pos tetap diambil kira.

Bukan hanya penyokong pembangkang, malah penyokong BN juga terpaksa mengambil cuti khas bagi membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab mereka. Perlu diingatkan semula bahawa SPR bukanlah ejen BN mahupun ejen kerajaan yang cuba mensabotaj mana-mana parti. Semua pihak akan merasa kesannya atas pengumuman ini dan terpulang kepada kita bagaimana mahu mengatasinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *