PM Umumkan Peruntukan RM200 Juta Untuk Koperasi Kedai Harga Patut

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk koperasi yang terlibat dengan perlaksanaan Kedai Harga Patut.

Beliau berkata suntikan itu penting bagi memastikan koperasi yang terlibat itu mampu berada sealiran dengan matlamat utama kerajaan terutama dalam usaha membantu rakyat menangani isu kos sara hidup.

“Jadi mana-mana koperasi yang jual barang dengan harga patut dan diiktiraf koperasi terlibat Kedai Harga Patut boleh terima sebahagian daripada suntikan RM200 juta ini yang akan ditentukan menteri,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Koperasi Negara 2018 di Ayer Keroh di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin; dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron serta lebih 30,000 anggota koperasi dari seluruh negara.

Kedai Harga Patut yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada 2003 merupakan pengiktirafan kepada peniaga yang sentiasa memastikan kualiti, nilai dan perkhidmatan diberikan memenuhi kehendak dan keperluan pengguna pada harga berpatutan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *