Budak 6 Tahun Maut, Basikal ‘Hancur’ Dilanggar Lari

Kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun maut akibat cedera parah selepas basikal ditunggangnya dipercayai dirempuh kereta dari belakang di Kilometer 16 Jalan Teluk Intan-Kampung Gajah, jam 12 tengah hari semalam, lapor BH Online.

Difahamkan, Muhammad Aqil Wafiy Mohd Yusof, 6, yang baru menyambut ulang tahun pada 8 Mac lalu meninggal dunia di lokasi kejadian.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzhuki Mohd Mokhtar mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 12.15 tengah hari.
 
“Kita dimaklumkan berlaku kemalangan membabitkan basikal dengan sebuah kenderaan yang tidak dapat dipastikan.
 
“Kanak-kanak terbabit dipercayai dilanggar lari kenderaan dipandu orang yang tidak dikenal pasti.
 
“Basikal dan kenderaan itu dipercayai dari arah yang sama iaitu Kampung Gajah menghala ke Teluk Intan,” katanya.
 
Kejadian disaksikan lelaki berusia 34 tahun yang mendakwa mangsa dirempuh Proton Waja berwarna hijau, namun tidak dapat memastikan nombor pendaftarannya.
 
“Mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala basikalnya rosak teruk.
 
“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.
 
Misi mengesan pemandu terbabit kini giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *