Ada Sebab Kanak-kanak Ini Enggan Cium Rosmah

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Khas Pejabat Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor berkata, insiden yang menunjukkan seolah-olah seorang kanak-kanak lelaki enggan membenarkan Datin Seri Rosmah Mansor mencium pipinya bersebab.

Beliau berkata, kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Izz merupakan seorang anak autisme.

“Dia mempunyai kebolehan luar biasa untuk menyelesaikan masalah matematik dan kimia pada usia enam tahun.

“Kepintaran Izz membolehkan dia diterima untuk melanjutkan pelajaran ke Pusat Permata Pintar, sebuah pusat untuk anak-anak pintar yang diilhamkan oleh Rosmah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut sumber, kelmarin, Rosmah dikatakan telah meluangkan masa untuk melihat sendiri perkembangan Izz di Permata Pintar.

“Pada usia enam tahun, Izz merupakan pelajar paling muda di pusat itu memandangkan rata-rata pelajar berusia belasan tahun.

“Anak-anak autisme tidak seperti kanak-kanak yang biasa, mereka mempunyai telatah dan cara mereka tersendiri,” jelasnya.

Katanya, ramai di antara mereka mempunyai masalah dalam berkomunikasi, lebih-lebih lagi dengan orang yang bukan daripada ahli keluarga mereka.

“Jadi tidak hairanlah Izz agak malu apabila bersama dengan Rosmah,” katanya.

Namun, katanya, apa yang dikesalkan adalah apabila ada pihak yang cuba mempolitikkan situasi ini.

“Seolah-olah tidak ada hormat dan sedikitpun rasa simpati terhadap kanak-kanak autisme.

“Siang malam hanya memikirkan soal bahan yang boleh di muatnaik untuk jadi cerita politik dan bahan cercaan,” katanya.

Sepatutnya mereka-mereka ini meraikan kisah kepintaran Izz sehingga mampu menjadi pelajar di Pusat Permata Pintar.

“Tapi, berlainan dengan mereka di sebelah sana yang sibuk mencaci dan mencerca.

“Rosmah pula berusaha menubuhkan pusat Permata Kurnia untuk membantu anak-anak autisme,” katanya.

Tambahnya, Pusat Permata Pintar pula ditubuhkan untuk mendidik anak-anak pintar yang akan menjadi aset negara pada masa hadapan. Inilah perbezaan antara kita dan mereka.

“Mereka yang telah ‘share’ video tersebut, eloklah bermuhasabah diri dan padam kembali.

“Anda seolah-olah menghina anak-anak autisme, lebih-lebih lagi anak yang mempunyai kebolehan luar biasa seperti Izz,” katanya.

Namun, kelmarin tular sebuah video yang disebarkan oleh laman Facebook ‘Saya Sayang Tun Mahathir Mohamad’ menunjukkan seolah-olah seorang kanak-kanak enggan membenarkan Rosmah mencium pipinya.

-PRU14.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *