PM Akui Selalui Jadi Mangsa Berita Palsu Pembangkang

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui beliau selalui menjadi mangsa berita palsu yang disebarkan oleh pembangkang menerusi jentera media sosialnya.

Katanya, yang pelik walaupun beliau cuba memperbetulkan fitnah itu, masih ada sebilangan rakyat percaya berita palsu pembangkang.

Beliau memberi contoh, ketika mengetuai delegasi Malaysia ke Beijing, China kira-kira tiga tahun lalu dan mendapat perkhabaran kemangkatan Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah, heboh mengatakan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor mengetuai ‘mesyuarat Kabinet’.

“Sebaik saya menerima maklum berita kemangkatan itu, saya memanggil delegasi saya ke hotel untuk berbincang macam mana saya nak balik ziarah Almarhum kerana Almarhum cukup rapat dengan saya dan keluarga saya.

“Masa itu isteri saya ada, duta ada, menteri pun ada. Kami bermesyuarat dalam bilik hotel. Tapi keluar dalam berita mengatakan isteri saya hadir mesyuarat Kabinet. (Berita) ini tak masuk akal,” katanya pada program Najib Razak Bajet 2018: Penjawat Awam di Ipoh, Perak, semalam

Kata Najib, pembangkang boleh menyebarkan berita palsu sewenang-wenangnya, tetapi beliau dan pemimpin kerajaan tidak mendapat kepercayaan rakyat walaupun membuat pelbagai penafian.

“Dalam pilihan raya lalu pun (PRU13), pembangkang guna media sosial mendakwa 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk ke negara ini untuk mengundi Barisan Nasional (BN). Hinggakan pengundi tempatan berkulit gelap pun orang pembangkang tuduh Bangla. Kesian Bangla, kena kejar pekerja pilihan raya pembangkang.

“Dia orang tidak fikirkah, nak bawa masuk 40,000 warga Bangla memerlukan berapa ratus jumbo (kapal terbang) untuk disewa,” katanya.

Bagaimanapun, kata Najib, sebagai Perdana Menteri, beliau berpegang pada perlembagaan.

Katanya, kalau perlembagaan mengatakan Malaysia negara demokrasi berparlimen, beliau berpegang dengan perlembagaan itu.

“Kalau saya dituduh zalim, siapa yang tangkap pemimpin parti dan aktivis menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)?

“Ada mangsa ISA menceritakan pada saya betapa azabnya mereka dipenjarakan. Bila masuk ke dalam, mereka tidak tahu bila siang, bila malam. Tetapi orang itu (merujuk pada perdana menteri terdahulu) beri alasan penangkapan itu dibuat oleh polis.

“Dia salahkan polis pula. (Datuk Seri) Anwar Ibrahim ditangkap pun polis dipersalahkan, Jadi, siapa zalim?” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *