Lelaki Cuba Buka Kotak Misteri, Akhirnya….

Nasib seorang lelaki yang sudah membelanjakan RM1,300 di sebuah mesin menjual hadiah misteri, dengan harapan untuk mendapatkan gajet pintar.

Bagaimanapun, dia hanya memperoleh dua kotak berupa makan tengah hari dan pengering rambut sebagai “hadiah utama”.

Pereka grafik, Mitchell Law pertama kali membuka 40 kotak dengan pelbagai jenis barangan kecil yang berakhir dengan pengering rambut sebagai kemenangan terbesarnya.

Dia kemudian mencuba lagi 90 kotak dan terpaksa berpuas hati dengan dua kotak berupa makan tengah hari sebagai hadiah terbaiknya.

“Setiap kotak mempunyai hadiah. Saya mendapat banyak hadiah kecil lain seperti mainan bata plastik, kad permainan, monopod yang saya berikan kepada rakan-rakan.

“Saya tidak marah atau mengamuk kerana saya hanya mencuba untuk suka-suka. Saya tidak fikir nasib saya buruk tetapi saya hanya merasakan ia sangat lucu,” kata pemuda berusia 31 tahun itu yang menetap di Kemboja.

Dia mencuba nasibnya menerusi mesin itu yang disediakan oleh sebuah syarikat yang dikenali sebagai Bee Bae, di KLIA2.

Law juga mengatakan dia tidak pasti sama ada perihal mesin tersebut diketengahkan oleh mana-mana akhbar dan portal.

Pada kapasiti maksimum, terdapat 150 kotak misteri di dalam mesin berkenaan.

Pertamanya, pengguna perlu memasukkan RM10 ke dalam mesin dan memilih kotak pilihan mereka, di mana mengandungi kad yang menyatakan hadiah yang dimenangi mereka.

Kemudiannya, mereka perlu menghubungi nombor yang tertera di dalam kotak itu untuk mengambilnya atau penghantaran.

Ditanya adakah dia akan melakukannya lagi, Law ketawa dan berkata ya dan dia juga akan membuat video penstriman secara langsung di laman sosial Facebook bagi sesi membuka kotak.

Posting Law di Facebook mengenai pengalaman ‘tidak bertuahnya’ menjadi tular dengan lebih 12,000 kongsi dan lebih 5,000 komen.

Memetik sumber berkata, Pengarah Urusan Bee Bae, Akim Lim ketika dihubungi berkata, syarikat itu telah membuat semakan dengan kakitangannya di KLIA2 dan mengesahkan bahawa Law telah membuka dua kelompok kotak tetapi tidak mendapatkan keseluruhannya di dalam mesin.

“Saya rasa dia hanya tidak bertuah. Kami mempunyai 150 kotak misteri dalam setiap pusingan dan terdapat beberapa hadiah utama dalam setiap pusingan.

“Terdapat hadiah dalam setiap kotak, dari hadiah kecil seperti kabel pengecas USB sehingga hadiah yang lebih baik seperti Sony PlayStation 4. Kami juga mengemas kini gambar pemenang hadiah utama menerusi halaman Facebook kami dari semasa ke semasa,” katanya.

Lim menambah, Bee Bae kini mempunyai sembilan mesin layan diri di Lembah Klang dan Pulau Pinang sejak ia mula beroperasi pada Oktober tahun lalu.

Beliau menegaskan bahawa mesin layan diri itu hanyalah satu bentuk hiburan dan bukan mesin judi.

Antara hadiah besar yang ditawarkan Bee Bae adalah telefon pintar Apple, Samsung dan Oppo, konsol permainan dan peralatan elektrik.

Konsep mesin jualan kotak misteri mendapat sambutan di Jepun dan Taiwan dan kini semakin popular di Malaysia.

-PRU14.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *