Ikat, Belasah Isteri Sebab Nak Balik Bangladesh

Lelaki tergamak membelasah isterinya hanya kerana terdesak mahukan wang.

 
Lebih sadis, mangsa diikat tangan, kaki dan mulut sebelum dibelasah di rumah mereka di Taman Perindustrian Kristal, Mukim Pumpung di Alor Setar, jam 2 pagi Khamis lalu.
 
Harian Metro melaporkan, selain merampas wang tunai RM4,000, suspek, 37, turut melarikan barangan kemas seberat 45 gram dianggarkan bernilai RM9,000.
 
Difahamkan, Anwara Abdul Hashim, 28, berkahwin dengan suaminya yang juga etnik Rohingya sejak empat tahun lalu.
 
 

Foto: Harian Metro
 
Bagaimanapun, dia tidak pernah menyangka suaminya tergamak berpakat dengan adiknya dan rakan untuk melakukan perbuatan itu.
 
“Mereka mengikat tangan dan kaki dengan tali manakala mulut dengan kain sebelum suami terus memukul kepala dan badan saya.
 
“Dia memberitahu ingin wang segera kerana mahu pulang ke Bangladesh dan terus mengambil wang tunai milik adik dan bapa saudara yang disimpan oleh saya,” katanya.
 
Menurut mangsa, dia bernasib baik dapat membuka ikatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Kota Setar.
 
“Saya kini buntu memikirkan masa depan kerana tidak bekerja dan berharap dia dapat ditemui pihak polis dan barangan kemas itu diperoleh semula.
 
“Setakat ini saya difahamkan dia sudah melarikan diri ke Ampang, Selangor dan bimbang jika dia pulang terus ke Bangladesh menyebabkan barangan saya lebur,” katanya.
 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Yazri Ismail mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *