Penduduk Di Selangor, Deritanya Macam Di Benua Afrika

Banyak tempat di Lembah Klang di Selangor keadaannya sudah seakan-akan sama seperti di negara di benua Afrika yang tandus dan rakyatnya menderita ketiadaan bekalan air, beratur panjang untuk mengharapkan dapat mengisi air. Mungkin ramai yang kecewa sudah beratur lama tapi kemudian air yang dihantar dengan lori tangki sudah habis.

Di AU2, Keramat ada satu lokasi difahamkan disediakan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) untuk orang ramai mendapatkan bekalan air selama 24 jam. Keadaan di tempat berkenaan begitu sesak dengan orang ramai sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Sebagai sebuah negeri yang memiliki rizak berbilion ringgit, isu bekalan air kepada orang ramai tidak sepatutnya berlaku. Selangor sepatutnya sudah ada sistem loji rawatan air yang moden serta loji serta khidmat sokongan untuk menampung permintaan.

Sejak 6 Mac, sebanyak 427 kawasan di sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air kerana kerja pembaikan peralatan kritikal selama 10 jam di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3). Ini gangguan terbesar kali kedua tahun ini selepas masalah sama melanda orang ramai pada 24 hingga 26 Januari yang lalu.

Masalah gangguan air ini bukan perkara baru malah pada 2015, ia berlaku pada bulan Ramadan hinggakan bekalan air terpaksa dicatu. Kesian penduduk di Selangor ketika itu, betapa peritnya menyambut Ramadan dalam keadaan tiada air.

Menghairankan kerana ia merupakan tanggungjawab kerajaan negeri tetapi kenapa perkara ini berlarutan dan tidak pernah selesai. Setiap tahun masalah sama akan berlaku seolah-oleh kerajaan Selangor sengaja melambatkan penstrukturan semula air.

Tidak nampak pun kelibat Menteri Besar Selangor, Azmin Ali turun padang dan tengok keadaan rakyat yang terjejas akibat masalah bekalan air ini.

Ada juga kedengaran rungutan penduduk, lori tangki SYABAS yang sudah dijanjikan untuk menghantar air tetapi tidak kunjung tiba walaupun penduduk sudah menunggu sampai ke waktu tengah malam.

Berapa kali dan berapa tahun lagi rakyat negeri Selangor akan terpaksa berdepan perkara ini lagi pada masa akan datang. Sudah beberapa kali sebelum ini juga penduduk Selangor terjejas dek masalah air kerana kemarau dan air dalam empangan kering.

Jika kerajaan negeri tidak melengahkan proses pembinaan loji air Langat 2, sudah tentu masalah ini tidak berlaku dan mungkin gangguan bekalan yang berlaku tidak terlalu lama dan membuatkan rakyat susah.

Sepatutnya negeri Selangor sudah memiliki sistem bekalan air yang bersepadu dan moden siap dengan sistem sokongan jika berlaku sesuatu sehingga terpaksa menghentikan bekalan utama. Bukan seperti apa yang berlaku sekarang ini.

Rakyat Selangor terpaksa sekali sekala hidup seperti di negara yang bermasalah macam di Afrika pada masa sepatutnya mereka tidak layak pun menderita sebegitu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *