Pekerja Dilanggar Bas, Sempat Suruh Telefon Bos Beritahu Masuk Lewat

SEORANG eksekutif hal ehwal korporat sedang menunggang motosikal di Lebuhraya Pan-Island (PIE) petang Isnin apabila dia melihat seorang lelaki sedang terbaring di atas jalan bersebelahan sebuah bas dalam keadaan sakit dan mengalami pendarahan.

Razali Tompang, 40, segera turun dari motosikalnya untuk memberi bantuan kecemasan kepada lelaki itu, yang cedera di bahagian mata dan kaki kanannya.

Menceritakan kejadian itu dalam satu video dan posting di kumpulan Facebook ‘SG Road Vigilante’ pada Selasa, dia memberitahu ayat pertama mangsa kepadanya ialah: “Bang, tolong hubungi bos saya, beritahu dia saya akan masuk lambat.”

Video itu dirakamkan dari kamera yang dipasang pada topi keledarnya.

Ketika mahu memberi pertolongan, dia telah membuka topi keledarnya itu dan meletakkannya di atas jalan raya untuk memudahkan bantuan diberikan jika perlu.

Dia bagaimanapun terlupa untuk mematikan kameranya dan kebetulan ia berada ‘di sudut yang baik’ selepas mangsa dialihkan oleh paramedik, katanya.

Menurut polis, pihaknya dimaklumkan mengenai kemalangan melibatkan motosikal, bas dan lori di PIE ke arah Tuas, selepas susur keluar Jalan Stevens, kira-kira pukul 6 petang.

Paparan skrin video yang dimuat naik Razali.

Penunggang motosikal itu, seorang lelaki berusia 35 tahun telah dibawa ke Hospital Tan Tock Seng dalam keadaan sedar. Siasatan lanjut sedang dijalankan.

Dalam posting yang dimuat naik Razali yang merupakan pemberi bantuan kecemasan bertauliah, dia menggalakkan rakan-rakan penunggang motosikal untuk mempelajari kemahiran pertolongan cemas, supaya mereka dapat membantu orang lain dalam keadaan kecemasan.

Bercakap kepada The Straits Times pada Rabu, Razali berkata dia sedang menuju ke rumahnya di Johor Bahru dari tempat kerjanya di Eunos.

Dia yang merupakan rakyat Malaysia dan berkhidmat dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan Singapura, menggunakan lebuhraya tersebut hampir setiap hari.

Sebaik sahaja melihat kemalangan itu, dia bergegas ke arah penunggang motosikal terbabit untuk memberi bantuan, kerana tiada siapa tahu apa bantuan yang perlu diberikan.

“Ada juga orang lain di tempat kejadian, termasuk pemandu bas, tapi tiada siapa tahu apa yang perlu dilakukan untuk membantu,” kata Razali.

Paparan skrin video yang dimuat naik Razali.

Untuk mengawal pendarahan di mata mangsa, dia menggunakan ‘bandage’ yang selalu disimpannya di dalam beg.

Dia juga cuba berborak ringkas dengan lelaki itu untuk memastikan dia terus sedar.

Katanya, walaupun sakit, lelaki itu lebih memikirkan untuk memberitahu bosnya tentang kemalangan itu dan memaklumkan bahawa dia akan lewat ke pejabat.

“Apabila saya tanya ‘bagaimana keadaan kamu’ perkara pertama yang dia minta saya buat adalah menghubungi bosnya. Saya tidak mengendahkannya pada mulanya, kerana saya memberi tumpuan untuk menghentikan pendarahannya,” katanya.

“Tetapi dia bertegas dan minta saya tolong buat kali ketiga, malah mengeluarkan telefonnya untuk menghubungi bosnya dengan ‘speed dial’,” katanya.

Paparan skrin video yang dimuat naik Razali.

Razali berkata dia bercakap secara ringkas dengan bos lelaki itu dan memberi jaminan kepadanya bahawa majikannya bersimpati dengan keadaannya.

Dia bersama lelaki itu selama kira-kira lima minit dan meninggalkannya hanya selepas para paramedik tiba.

Dia memutuskan untuk memuat naik video itu ke Facebook pada hari berikutnya, kerana berpandangan ia dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk melengkapkan diri dengan kemahiran pertolongan cemas.

Beberapa minit pertama selepas kemalangan sangat penting untuk mangsa, katanya, dan mengambil gambar dan video tanpa bantuan tidak seharusnya dijadikan kebiasaan. -straitstimessingapore

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *