Apa Yang Dijanjikan Pembangkang, BN Sudah Lama Laksanakan

Dua senarai janji yang dilancarkan Pakatan Harapan (PH) sebagai manifesto malam tadi untuk PRU14 nanti adalah satu janji kosong kerana Barisan Nasional (BN) yang mentadbir Malaysia sejak dulu sudah pun melaksanakan keseluruhan manifesto itu kepada rakyat.

PH yang kini dipimpin oleh Pengerusinya, Mahathir Mohamad melancarkan dua senarai manifesto iaitu untuk 100 hari pertama dan kemudian untuk jangka masa lima tahun. Tidak ada apa-apa yang menarik pun dalam pelancaran semalam.

Dalam ucapannya, Mahathir berkata orang Malaysia ramai yang makan dedak. Ia benar-benar menghina rakyat yang memerlukan perhatian kerajaan untuk masa depan lebih baik. Kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang baik selesaikan dulu masalah banjir dan masalah gangguan bekalan air kalau hendak bincang pasal manifesto.

Janji PH hendak mansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah satu janji yang bakal bawa negara terkebelakang dalam kalanagn negara-negara maju yang sudah pun melaksanakan GST lebih lama dari Malaysia. GST dilaksanakan kerana ia boleh mengelakkan perbuatan mengelak cukai selain ia lebih adil kepada rakyat.

Pakatan tidak akan mansuhkan semua cukai sebaliknya akan menggantikannya dengan Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST) yang sudah lapuk kerana dipraktikkan ketika zaman Mahathir jadi Perdana Menteri. Ia akan membolehkan segelintir pihak pengimport, pengilang, pemborong atau peruncit tidak mengisytiharkan cukai sepatutnya melalui pindahan harga.

SST ini tidak telus dan akan menjadikan orang tengah kaya serta tidak adil.

Kemudian, PH hendak kekalkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tetapi kononnya tidak mahu ada penglibatan politik semasa pengagihan. Sebelum ini, Mahathir dan beberapa pemimpin pembangkang kata BR1M adalah rasuah daripada kerajaan untuk beli undi. Ia sudah lama dilaksanakan BN sejak 2012 dan ia terbukti meringankan beban rakyat.

Dalam hal BR1M ini, Mahathir buat u-turn dengan mengekalkan pemberiannya pula.

Selain itu, pembangkang berjanji untuk menyamaratakan dan menaikkan kadar gaji minimum untuk pekerja di seluruh negara. Ketika ini gaji minium sudah pun dilaksanakan di Malaysia dan sudah dinaikkan pada Julai 2016 kepada RM1,000 bagi Semenanjung Malaysia manakala RM920 bagi pekerja di Sabah dan Sarawak.

Sebelum ini, Mahathir tidak suka pelaksanaan gaji minimum tapi kali ini dia u-turn lagi.

Janji populis pembangkang untuk mengurangkan beban hutang PTPTN kepada pelajar yang mengambil pinjaman itu juga sudah dilaksanakan BN sebelum ini.

Pada zaman pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan sudah longgarkan syarat bayaran balik pinjaman PTPTN dengan pemberian diskaun. Pemegang ijazah kelas pertama dikecualikan dari bayaran balik. Malahan, pendidikan di universiti awam sudah disubsidikan sebanyak 90 peratus.

Langkah pakatan dalam isu PTPTN ini adalah tidak adil untuk peminjam yang konsisten membuat bayaran balik.

Kerajaan juga akan berdepan masalah kutipan bayaran balik jika ia ditangguhkan kepada semua peminjam yang memperoleh gaji kurang dari RM4,000 sebulan. Ia jelas satu langkah populis yang tidak bertanggungjawab.

Janji PH untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk siasat 1MDB, FELDA, MARA dan Tabung Haji juga tidak memperlihatkan keikhlasan mereka keseluruhannya. Dulu, Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail janji kata jika PH menang PRU14 kerajaan pakatan akan siasat skandal yang melibatkan Mahathir melalui RCI.

Selepas Mahathir jadi Pengerusi dan dinamakan sebagai calon Perdana Menteri, terus senyap cadangan penubuhan RCI untuk siasat kes Memali, skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF), skandal terowong dasar laut, skandal tanah Ijok, skandal banglo Lim Guan Eng dan banyak lagi skandal.

Kemudian, PH mahu memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberikan RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar bagi golongan B40. Kerajaan BN sudah laksanakan dengan mewujudkan Klinik 1Malaysia di mana orang ramai boleh mendapatkan rawatan dan ubat hanya dengan bayaran RM1.

Apa motif PH untuk membuatkan pengusaha klinik swasta menjadi lebih kaya, dan bagaimana mereka mahu memastikan proses mendaftarkan klinik swasta itu telus dan tidak melibatkan rasuah?

Pakatan juga merancang untuk mewujudkan Akta Kawalan Pembiayaan Politik yang bertujuan mengawal dana yang didermakan kepada parti politik untuk membiayai gerak kerja politik. Akta ini sudah lama mahu diperkenalkan oleh Najib tetap ditolak mentah-mentah oleh pembangkang. Mereka rasa mereka boleh menang dan kemudian mahu kawal pula dana politik yang diterima BN.

Apabila didesak jawab soal dana dari Israel berjumlah RM1.2 bilion dan dari George Soros, sampai ke hari ini mereka tidak mahu jawab atau beri penjelasan.

Skandal dan masalah begitu banyak bertimbun di negeri yang ditadbir PH tidak mahu diselesaikan sudah buat janji baru lagi. Janji yang lama kepada rakyat negeri Selangor dan Pulau Pinang pun banyak masih belum ditunaikan sudah mula buat cerita bohong janji manis yang baru.

Manifesto ini hanya cerita kosong dan ia sudah pun dirancang serta dilaksanakan dengan baik dan cemerlang oleh BN di bawah Najib.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *