Padah Ikut Lelaki ‘Tak Dikenali’ Ke Hotel

Padah mengikut lelaki yang baru dikenalinya ke hotel, remaja perempuan berusia 16 tahun dirogol remaja lelaki sebayanya, lapor BH Online.

Menurut laporan, kejadian berlaku di sebuah hotel di Senawang, kelmarin.

Dalam kejadian, difahamkan pelajar sebuah kolej kemahiran itu keluar dari hostel di Taman Bukit Delima tanpa pengetahuan warden untuk bertemu remaja lelaki terbabit di Senawang.

“Mangsa ditemani dua rakan perempuan bertemu remaja lelaki itu di Uptown Senawang jam 10 malam pada Sabtu lalu. Mereka dikatakan makan malam bersama sebelum bersiar-siar,” kata sumber.

Tambahnya, mangsa dan rakan-rakannya kemudian dibawa ke bilik sebuah hotel bajet di Senawang kononnya untuk berehat.

“Mangsa mendakwa kira-kira jam 2 pagi, dia dipeluk remaja lelaki terbabit dan cuba melawan serta menjerit meminta tolong dua rakan yang tidur di katil sebelah, namun mulutnya ditutup lelaki terbabit.

“Mangsa mendakwa dia dirogol dan kemudiannya dihantar pulang ke rumah rakannya di Sepang, Selangor.

“Sewaktu berada di rumah, remaja perempuan itu memberitahu rakan bahawa dia dirogol selepas mereka melihat terdapat kesan gigitan merah pada leher,” katanya.

Mangsa dibawa rakannya untuk membuat laporan di Balai Polis Paroi, di sini pada jam 4 petang, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk pemeriksaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *