NGO Desak Kit Siang Tarik Balik Semua Buku Tulisannnya Tentang Skandal Mahathir

Sejak pemimpin DAP, Lim Kit Siang bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad sejak lebih setahun lepas nampak mereka sudah begitu akrab termasuk parti PPBM juga sudah diterima masuk dalam pakatan pembangkang Pakatan Harapan (PH).

Beliau juga sudah menerima pencalonan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri jika PH menang pada PRU14 selepas Konvensyen PH sebelum ini di Shah Alam.

Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) hari ini mendesak Ahli Parlimen DAP-Gelang Patah itu untuk menarik balik semua buku tulisannya yang menuduh Mahathir sebagai pemimpin salah guna kuasa dan mengamalkan kronisme sebelum ini.

Presidennya, Ramesh Rao dalam satu kenyataan media berkata, Kit Siang perlu melakukan perkara itu kerana Kit Siang dilihat seperti sudah menerima dan memaafkan semua kesalahan Mahathir ketika jadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum ini dalam pelbagai isu.

Menurutnya, jika sudah bekerjasama dalam hal politik dan sudah diterima sebagai bakal Perdana Menteri, Kit Siang mesti tarik semua buku berkenaan kerana kini beliau sudah sokong Mahathir bukan seperti dulu mereka adalah musuh politik.

“Kit Siang kena tarik buku tulisannya yang buat tuduhan ke atas Mahathir kalau sudah jadi satu pasukan.. Bagaimanapun, YB Kit Siang sampai ke hari ini tidak buat pengumuman tarik balik semua buku-buku berkenaan yang menceritakan tentang skandal Mahathir ketika jadi Perdana Menteri.

“Dalam erti kata lain, Kit Siang sedang menipu rakyat dan kalau boleh pulangkan kembali wang yang digunakan orang ramai untuk membeli buku itu,” kata Ramesh.

Pada tahun 1994, Kit Siang menulis sebuah buku bertajuk ‘The Bank Negara RM30 Bilion Forex Losses Scandal’ yang mana ketika itu Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Ada 27 buku semuanya ditulis oleh Kit Siang semasa zaman Mahathir dan buku berkenaan skandal Forex itu adalah antara yang paling menjadi perbualan kerana pertelagahan Kit Siang dari pembangkang dan Mahathir dalam BN, tapi kini mereka sudah jadi kawan baik, sepatutnya Kit Siang tarik balik,” katanya.

Pada tahun 1986, Kit Siang menulis buku bertajuk ‘BMF-The Scandal of Scandals’ yang juga mengaitkan Mahathir sebagai antara individu yang ada kaitan dengan skandal pembunuhan Pegawai Bumiputra Malaysia Finance (BMF) Allahyarham Jalil Ibrahim yang mati dibunuh pada 19 Julai 1983 yang dikatakan cuba menutup transaksi mencurigakan pinjaman berbilion BMF kepada syarikat Kumpulan Carrian di Hong Kong.

Ramesh berkata, Kit Siang juga ada menulis buku berkenaan Operasi Lalang, yang bertajuk ‘Prelude To Operation Lalang’ pada tahun 1990 yang melibatkan penahanan Kit Siang sendiri di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada ketika itu.

Ops Lalang dilancarkan pada 27 Oktober 1987 oleh pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri untuk memberkas mereka yang mengeruhkan suasana politik pada tahun itu.

Dalam operasi itu, seramai 106 orang ahli politik terutamanya dari pakatan pembangkang ditahan di bawah ISA dan kerajaan membatalkan dua lesen akhbar harian iaitu The Star dan Sin Chew Jit Poh dan dua akhbar mingguan, The Sunday Star dan Watan.

“Jika Kit Siang sudah menerima Mahathir sebagai keluarga, buku-buku tulisan beliau semuanya sudah tidak relevan lagi.

“Kita minta, secara gentleman, Kit Siang kena tarik balik semua buku tulisannya yang pernah kata Mahathir perasuah dan amalkan salah guna kuasa,” kata Ramesh dalam kenyataan itu.

Sejak parti Mahathir, PPBM diterima dalam PH dan Mahathir dilantik sebagai Pengerusi, tidak ada satu pun pengumuman dari Kit Siang yang menyatakan bahawa beliau sudah memaafkan atau melupakan permusuhan dengan Mahathir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *