Ahli Parlimen DAP Yang Desak Speaker Letak Jawatan Hipokrit

Tindakan tiga Ahli Parlimen DAP yang mendesak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia meletak jawatan kerana menolak usul segera Pakatan Harapan (PH) mencerminkan mereka sebenarnya wakil rakyat hipokrit yang tidak berpijak di bumi nyata.

Pembangkang memfailkan usul untuk sidang Dewan Rakyat berkenaan kes rampasan kapal mewah Equanimity yang disita oleh pihak berkuasa Indonesia awal minggu lepas.

Menurut, DOJ Amerika Syarikat, kapal itu adalah milik ahli perniagaan Jho Low tapi sehingga kini pemilik sebenar kapal berkenaan pun tidak dapat dibuktikan.

Kenyataan bersama mendesak Pandikar letak jawatan dibuat oleh Ahli Parlimen DAP-Taiping, Nga Kor Ming, Ahli Parlimen DAP-Beruas, Ngeh Koo Ham dan Ahli Parlimen DAP-Batu Gajah, V Sivakumar. Mereka cuba berlagak menjadi wira padahal jika di negeri yang ditadbir oleh pakatan, usul BN untuk membahaskan salah laku pemimpin mereka juga ditolak mentah-mentah.

Pandikar menolak usul segera yang dibawa oleh Gooi Hsiao Leung (PKR-Alor Setar) yang mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali bahawa kerajaan tidak akan menuntut kapal mewah berkenaan.

Kapal berkenaan dikatakan dibeli dengan wang dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diselewengkan. Tapi sejak saman sivil dimulakan oleh pihak DOJ, 1MDB tidak pernah menyatakan sebarang kes kehilangan wang.

Perangai pakatan di kerajaan negeri ditadbir mereka lagi teruk. Di Selangor, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menolak usul tergempar untuk membahaskan isu ejekan Pengerusi PH, Mahathir Mohamad yang menghina etnik Bugis hingga menyebabkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah murka.

Usul itu dikemukakan oleh ADUN BN-Kuang Datuk Abdul Shukor Idrus dan ia ditolak oleh Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh Tseow Suan.

Mahathir semasa berucap dalam perhimpunan berkaitan kleptokrasi pada 14 Oktober tahun lepas di Petaling Jaya mengejek keturunan Najib yang berasal dari darah Bugis sebagai penyamun dan lanun. Mereka sanggup mempertahankan tindakan seorang bekas Perdana Menteri yang menghina keturunan orang lain.

Keturunan Bugis adalah asal usul keturunan orang Melayu di negara ini dan Sultan Selangor dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga berdarah keturunan Bugis.

Di Pulau Pinang lagi teruk, DUN negeri itu tolak usul ADUN BN untuk meminta Ketua Menteri Lim Guan Eng bercuti kerana kes rasuah banglo murah yang dihadapinya di mahkamah. Usul pada masa itu dibawa oleh ADUN BN-Pulau Betong, Datuk Muhamad Farid Saad ditolak Speaker Datuk Law Choo Kiang atas alasan teknikal.

Dalam hal Pandikar, siapa pemilik sebenar kapal mewah itu pun belum diketahui dan saman sivil itu pun tidak dimaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia untuk satu siasatan rasmi dijalankan bersama.

Takkan hanya kerana desakan Ahli Parlimen pembangkang, Dewan Rakyat hendak bahas atau meminta Najib menjawab perkara yang tidak ada kaitan dengannya dan Malaysia. Dalam saman sivil itu pun, Najib sudah dinyatakan oleh DOJ bukan subjek siasatan dalam kes itu.

Kes pemimpin mereka yang sudah terbukti dengan maklumat sahih mereka tidak mahu ambil tindakan sebaliknya mempertahankan pemimpin rasuah mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *