Pahang Main Sambil Lewa Punca ATM Curi Gol

KUANTAN: Biarpun berjaya mengutip mata penuh selepas menundukkan ATM 2-1 dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur malam Ahad, pengendali skuad Tok Gajah, Dollah Salleh menyifatkan prestasi anak buahnya masih kurang memberangsangkan berbanding kemampuan sebenar.

Beliau berkata, corak permainan sambil lewa yang ditunjukkan pemainnya menyebabkan Pahang gagal mencipta jaringan lebih banyak.

“Permainan yang ditunjukkan jauh berbeza berbanding sebelum ini, bagaimanapun saya percaya prestasi kurang memberangsangkan ini tidak akan berterusan bagi perlawanan akan datang,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan pusingan kedua Piala FA di sini, malam Ahad.

Dalam perlawanan itu, Dollah begitu yakin pasukannya akan mencipta kemenangan dan mampu mencipta gol tambahan walaupun pasukan ATM berjaya menyamakan kedudukan 1-1.

Sementara itu, Ketua Jurulatih ATM Azhar Abdullah tidak menolak tahap kemampuan pasukannya jauh berbeza jika dibandingkan dengan Pahang.

“Saya berpuashati dengan semangat permainan yang ditunjukkan oleh pasukan ini yang terdiri daripada anggota tentera tanpa melibatkan pemain luar,” katanya.

Azhar berkata, pendekatan teknik bertahan sememangnya perancangan yang diaturkan dari awal, bagaimanapun kelekaan pemain Pahang memberi peluang untuk ATM mencuri gol sagu hati.

Bagi saingan Liga Malaysia musim ini, katanya ATM tidak meletakkan sebarang sasaran, namun akan bermain habis-habisan bagi mencapai kejayaan sejauh mungkin. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *