Pegang Watak Berat, Hairul Azreen Janji Tak Bikin Malu

Hairul Azreen diberi peluang untuk memegang watak berat dalam filem PASKAL yang akan memasuki ke set penggambaran tidak lama lagi.


Tanggungjawabnya untuk membawa watak anggota elit dalam Pasukan Khas Laut (PASKAL) sungguh mencabar dan berjanji untuk tidak memalukan Tentera Laut Diraja Malaysia dengan lakonan yang bersungguh-sungguh.

Dia merasakan impiannya menjadi kenyataan ketika mendapat tawaran berlakon dalam filem yang menceritakan pengorbanan dan perjuangan pasukan elit dalam TLDM ini. Ini kerana memang dari kecil dia mempunyai cita-cita menjadi tentera namun tidak mempunyai rezeki dalam bidang tersebut.


“Dari kecil saya pasang impian untuk bergelar tentera tetapi tiada rezeki.”


“Apabila dapat peluang berlakon dalam PASKAL ia seperti impian jadi kenyataan dan ketika menjalani latihan di kem tentera saya rasa seperti salah seorang daripada mereka.


“Saya berjanji tidak akan memalukan pasukan PASKAL dan akan menggalas tanggungjawab diberikan dengan baik,” katanya pada Mstar ketika majlis pelancaran filem itu diadakan hari Jumaat yang lalu.

Foto: IG Hairul Azreen

Lokasi penggambaran filem ini bertempat di Lumut, Perak, Semporna, Sabah dan Maghribi yang diarahkan oleh pengarah Adrian Tan. Antara pelakon lain yang terlibat dalam filem ini adalah Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G dan Jasmine Suraya Chin.


Latihan pula dijalankan di kem tentera Lumut, Perak turut dibantu oleh anggota PASKAL namun cuma 20% sahaja latihan tentera yang diberikan dan berbeza dengan latihan yang sebenar-benarnya dilalui oleh anggota PASKAL.

Foto: IG Hairul Azreen

Ini merupakan pengalaman baru yang menyeronokkan dan dapat juga merasa menjadi anggota elit serta menggunakan senjata yang berbahaya ketika beraksi.

“Tetapi ia pengalaman yang sangat menarik dan berharga kerana kami dilayan seperti anggota elit yang sebenar dan banyak ilmu dikutip sebagai persediaan untuk penggambaran nanti,”katanya.


Bagi memantapkan lagi mutu lakonan, dia juga menyertai kelas lakonan dan melakukan aktiviti kecergasan bersama pelakon lain untuk memberikan hasil yang baik pada filem yang berbajet besar ini.

Foto: IG Hairul Azreen

“Saya sangat gembira dengan tawaran lakonan filem ini kerana ia projek yang sangat besar.


“Atas dasar itu saya ambil kelas lakonan semata-mata ingin memantapkan lakonan saya dan tidak mahu mensia-siakan peluang diberikan oleh pihak produksi,” ujarnya.

Foto: IG Hairul Azreen

Filem ini berdasarkan kisah sebenar tentang kejayaan anggota elit dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 dan merampas kapal dagang MT Bung Laurel yang diambil oleh lanun Somalia di Teluk Aden pada tahun 2011.


Moga segala titik peluh Hairul dan pelakon lain ditambah pula dengan kehebatan pengarah Adrian dapat memberi impak dalam industri perfileman dengan hasil karya yang gempak ini. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *