Piala Sonix 2018 Medan Uji Falsafah Baharu

Kejohanan Piala Sanix 2018 di Fukuoka, Jepun dari 15 hingga 18 Mac ini bakal menjadi medan buat skuad negara Bawah 19 Tahun (B-19) menguji falsafah bola sepak baharu dalam usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperkasakan mutu permainan bola sepak tanah air.

Ketua jurulatih B-19, Bojan Hodak berkata falsafah baharu itu bertujuan mendidik barisan pemain muda negara dari segi taktikal dan teknikal penguasaan bola selain mewujudkan satu sistem permainan seragam yang akan diguna pakai oleh setiap jurulatih skuad kebangsaan.

“Pengarah Teknikal FAM (Peter De Roo) telah mencadangkan bahawa skuad kebangsaan semua peringkat sepatutnya mempunyai gaya yang sama bagi mewujudkan rentak gaya Malaysia. Ia lebih kepada cara mendidik pemain dari segi taktikal dan teknikal dari usia muda.

“Apabila mewakili skuad utama, pemain akan lebih yakin untuk memiliki penguasaan bola kerana ini adalah masalah di peringkat antarabangsa apabila tidak dapat mengekalkan penguasaan ketika pihak lawan memberi tekanan,” katanya kepada pemberita pada hari pertama kem latihan pusat skuad B-19 di Wisma FAM pada Khamis.

Pada masa sama, Hodak berkata tiada sebarang sasaran diletakkan pada kejohanan selama empat hari itu di Jepun, namun menegaskan kemenangan dalam setiap perlawanan adalah penting dan menjadi keutamaan.

“Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 21 daripada 27 pemain melaporkan diri pada hari pertama sesi latihan sementara enam pemain lagi dijangka melaporkan diri selewat-lewatnya Sabtu ini sebelum menyambung sesi latihan di Johor Bahru, Isnin depan.

Skuad kebangsaan akan mengharungi tiga aksi persahabatan di Singapura menentang Warriors FC pada 6 Mac diikuti aksi menentang skuad B-19 Singapura (8 Mac) dan Balestier Khalsa FC pada 10 Mac sebelum 22 pemain berlepas ke Fukuoka pada 12 Mac.

Selain Malaysia, Rusia, Korea Selatan, Taiwan dan Jepun selain beberapa kelab tempatan di sana akan mengambil bahagian dalam kejohanan itu.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *