Tanah Di Ijok Masih Lagi Milik Peneroka

PENTADBIRAN pakatan diketuai DAP di Selangor kacau bilau dan huru hara. Azmin Ali gagal menjadi menteri besar yang baik. Terlalu banyak perkara yang mencurigakan berlaku. Segala janji ketelusan rupa-rupanya hanya propaganda untuk menipu rakyat Selangor.

Skandal tanah di Ijok yang membelenggu para peneroka dilihat sampai ke kemuncaknya. Putar belit serta penipuan kerajaan pakatan Selangor tidak lagi boleh diterima. Mereka akan membawa tuntutan tanah mereka ke mahkamah supaya Kerajaan Selangor memulangkan semula tanah seluas 400 hektar. Ia adalah milik mereka. Kenapa kerajaan pakatan Selangor tidak berhati perut mahu merampas hak rakyat Selangor?

Perjanjian persetujuan antara peneroka dan dua syarikat pemaju hanya membabitkan tanah seluas 800 hektar, namun sebaliknya baki 400 hektar juga menjadi milik kerajaan negeri.

Keluasan keseluruhan tanah peneroka ini ialah 1,200 hektar. Namun, ia dirampas Kerajaan Selangor pada 2009 selepas syarikat pemaju dilantik peneroka selaku pemilik tanah, gagal memajukan kawasan ini.

Persoalannya jika tanah yang dirampas Kerajaan Selangor boleh dipulangkan semula kepada dua pemaju ini untuk dijual semula kepada pihak ketiga, kenapa baki 400 hektar tanah tidak dipulangkan juga kepada peneroka?

Jika mereka enggan memulangkan 400 hektar tanah ini, Kerajaan Selangor sekurang-kurangnya perlu membayar pampasan mengikut harga semasa.

Kini hampir 200 peneroka telah melantik peguam untuk menuntut hak mereka di mahkamah. Setiap peneroka sekurang-kurangnya boleh mendapat pampasan sebanyak RM500,000 berdasarkan nilai semasa tanah seluas 400 hektar itu. Namun hak tersebut telah dinafikan oleh kerajaan pakatan Selangor.

Perjanjian berat sebelah telah berlaku. Sebelum ini peneroka hanya mendapat RM300 juta daripada RM1.18 bilion hasil penjualan tanah seluas 800 hektar. Sekali lagi peneroka menjadi mangsa pihak tertentu yang cuba mengaut keuntungan mudah.

Sebelum ini, Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Eric See-To Choong berkata, keputusan Kerajaan Selangor melantik firma guaman Daim & Gamany yang mempunyai kaitan dengan seorang pemimpin PKR sebagai wakil peneroka, menimbulkan pelbagai persoalan yang masih gagal dijawab hingga kini.

Choong turut membangkitkan persoalan sama ada firma guaman dilantik itu ada memaklumkan kepada semua peneroka bahawa tanah seluas 800 hektar mereka akan dijual kepada dua syarikat pemaju terbabit dengan harga RM1.18 bilion, yang mana golongan berkenaan hanya mendapat RM300 juta, manakala bakinya adalah milik pemaju terbabit.

Selain itu, beliau turut mendakwa semua peneroka tidak mengetahui pihak pemaju bercadang membangunkan projek dengan nilai pembangunan kasar bernilai RM15 bilion di tanah berkenaan.

Tanah seluas 880 hektar itu dibeli dua syarikat, LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd pada 1998. Tanah itu diambil alih Kerajaan Selangor ketika Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar pada 2009 selepas pemaju dilantik peneroka selaku pemilik tanah, gagal memajukan kawasan berkenaan.

Menurut peguam yang mewakili lebih 100 peneroka terbabit, Datuk Kamaruddin Ahmad berdasarkan fakta awal, tanah di mukim Ijok itu merupakan tanah anugerah yang diberi milik oleh kerajaan negeri sebelum ini kepada 980 peneroka sehinggalah syarikat pemaju dilantik untuk menguruskannya.

Skandal tanah Ijok dilihat bakal menamatkan dominasi pakatan harapan diketuai DAP di bumi Selangor memandangkan kezaliman mereka dapat dibongkar. Hak rakyat dirampas tanpa belas kasihan.

 

– pru14.tv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *