Pecah Amanah Gereja City Harvest: Polis Tahan Lelaki Malaysia Bantu Bekas Pemimpin Gereja

Seorang lelaki warganegara Malaysia yang disyaki terlibat membantu salah seorang bekas pemimpin Gereja City Harvest yang cuba melarikan diri dari republik ini berjaya ditangkap oleh polis.

Menurut sumber mengatakan, Khoo Kea Leng, 45, ditangkap dua hari yang lepas di Malaysia dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kemudiannya diserahkan kepada Pasukan Polis Singapura (SPF).

Khoo yang ditahan telah didakwa di mahkamah semalam (Rabu). Penolong Pesuruhjaya Kanan Polis SPF Hsu Sin Yun berkata, Khoo tidak mungkin dapat ditangkap tanpa wujudnya kerjasama rapat dan hubungan kukuh antara SPF dan PDRM.

“SPF akan berusaha habis-habisan memburu penjenayah yang melakukan jenayah di Singapura. Kami akan bekerjasama dengan rakan penguatkuasaan undang-undang dari negara asing untuk membawa penjenayah ke muka pengadilan.”

Baru-baru ini, bekas Pengurus Dana Gereja City Harvest, Chew Eng Han yang sebelum ini didapati bersalah atas tuduhan berkonspirasi melakukan jenayah pecah amanah berjaya ditangkap sewaktu cuba melarikan diri ke Malaysia sebelum hukuman yang dijatuhkan ke atasnya berjalan, kata polis.

Sementara itu, maklumat daripada pihak Gereja City Harvest cawangan Malaysia masih cuba didapati oleh pihak media untuk penjelasan lanjut.

-PRU14.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *