KWSP Sangkal Berita Palsu Sarawak Report

(Bernama) – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyangkal kenyataan Sarawak Report dalam blognya dan catatan Facebooknya hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, KWSP berkata, ia tidak pernah mempunyai sebarang urusan atau telah memasuki mana-mana perjanjian dengan Limage Holdings SA, Limage Southwest Holdings, individu yang dikenali sebagai Matrai atau mana-mana pihak seperti yang dinyatakan oleh Sarawak Report.

“Oleh itu, tiada pemindahan sebarang bon atau dana kepada mana-mana syarikat, pihak atau individu yang dinyatakan di atas boleh berlaku seperti yang dikatakan,” katanya.

Menurut KWSP, surat ‘Surat Tanggung Rugi’ yang bertarikh 20 Ogos 2015 yang ditujukan kepada Gyorgy Matrai dari Limage Holding S. A. yang mendakwa perjanjian antara KWSP dan Limage Holdings S.A. telah dimaklumkan kepada KWSP pada 26 Oktober 2015.

“Memandangkan ini jelas adalah dokumen yang dipalsukan, KWSP telah membuat laporan polis pada 28 Oktober 2015.

“Surat Anugerah” (LOA) yang bertajuk ‘Development and Construction of Integrated Medical City Project For EPF’ dari TripleNiceTales Sdn Bhd bertarikh 18 Mei 2015 telah dimaklumkan kepada KWSP pada 24 Februari 2016,” menurutnya.

Memandangkan ada pihak ketiga yang menyalahgunakan nama KWSP dan adanya kecurigaan penipuan, KWSP berkata, ia telah membuat laporan polis pada 26 Februari 2016 dengan menyatakan ia tidak tahu mahupun terlibat dalam urus niaga yang disebut dalam LOA itu.

“Penglibatan Ladylaw Securities Pte Ltd dan Nic Manikis telah dimaklumkan kepada KWSP pada 20 Januari 2017, dan laporan polis telah dibuat pada 23 Januari 2017 yang menyatakan bahawa KWSP tidak tahu mahupun terlibat dalam sebarang urus niaga pelaburan dengan Ladylaw Securities mahupun Nic Manikis,” kata KWSP.

KWSP berkata sebarang skim seperti ini tidak akan lulus rangka kerja tadbir urus yang kukuh dan mantap.

“Sebelum keputusan pelaburan dibuat, proses tadbir urus kami memerlukan semua cadangan untuk dikenakan penilaian risiko yang ketat dan ketekunan wajar oleh pihak pengurusan.

“Semua kelulusan mesti melalui Jawatankuasa Pengurusan Pelaburan untuk pengesahan sebelum ke Panel Pelaburan untuk kelulusan akhir,” katanya.

Panel Pelaburan terdiri daripada ahli profesional industri, ahli senior dalam pengurusan KWSP, Bank Negara Malaysia dan kerajaan.

“Kami tetap teguh dalam memenuhi mandat kami untuk melindungi simpanan ahli kami,” kata KWSP.

Tulisan asal oleh:
Malaysia Today, 1 Mac 2018

-PRU14.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *