BN Terengganu Yakin Kekal Tadbir Negeri Selepas PRU14

Barisan Nasional (BN) Terengganu yakin akan memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan mengekalkan pentadbirannya di negeri ini meskipun pembangkang dilihat lebih agresif mendekati pengundi ketika ini.

Ketua Penerangan BN Terengganu, Wan Hakim Wan Mokhtar berkata BN telah menyusun strategi tersendiri tanpa perlu mengikut apa yang dilakukan pihak lawan untuk memenangi PRU14 nanti.

“Kami benar-benar yakin akan memenangi PRU nanti dan kekal mentadbir negeri ini sebab kita dah susun dan ada strategi-strategi kita yang hanya menunggu waktu sesuai untuk dilancarkan.

“Biarlah orang lain nak buat apa pun, kita bukan parti yang akan ikut rentak parti lain, kita bukan macam tu,” katanya dalam sidang media sempena Konvensyen BN Terengganu 2018.

Konvensyen dua hari itu akan dirasmikan Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, di sini, esok.

Wan Hakim yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Air Putih itu berkata BN Terengganu juga sudah mempunyai maklumat lengkap dan data terkini jumlah pengundi yang dijangka akan memilih BN pada PRU nanti.

“Dalam pilihan raya jumlah pengundi membawa segala makna…kita ada data lengkap dan boleh tahu berapa ramai pengundi yang akan undi kita nanti.

Menurut beliau, kajian bahawa BN akan menang berbanding pihak pembangkang juga sudah dijalankan di media sosial.

-PRU14.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *