Morais Terpaksa Tinggalkan JDT

Ulisses Morais melepaskan jawatannya  sebagai ketua jurulatih Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana berdepan dengan masalah kesihatan keluarga.

Jurulatih kelahiran Portugal berusai 58 tahun terpaksa membuat keputusan sukar selepas terdapat perkara lebih penting perlu diutamakan.

Jelasnya dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebook Johor Southern Tigers pada Ahad, tugasannya berakhir di kelab hebat itu.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua kakitangan, pemain dan seluruh struktur sepanjang sembilan bulan kami menghabiskan bersama-sama dengan begitu banyak pencapaian dan kejuaraan yang dicapai.

“Juga kepada pembantu jurulatih setia saya, Rui Rodrigues yang menemani saya selama ini, terima kasih. Bersama anda, tugas disini menjadi lebih mudah.

“Kepada para penyokong, terima kasih diatas sokongan, ambil berat dan penghormatan yang sentiasa diberikan setiap hari. Perlawanan demi perlawanan telah menjadikan kami menjadi terbaik di dalam setiap perlawanan,” ujarnya.

Dia turut meluahkan penghargaan kepada pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Seorang lelaki muda yang tidak dapat dinafikan bakat, kepintaran dan kepimpinan yang dimiliki. Dilahirkan sebagai juara.

“Saya berkongsi pendapat dengan baginda berjam-jam dalam satu hari, sama ada di rumahnya atau di kelab di mana baginda selalu melayan saya dengan penuh penghormatan, pendidikan dan persahabatan, memenuhi semua keperluan untuk berjaya sehingga saat terakhir saya di sini.

“Baginda adalah seorang yang berwawasan. Apa yang difikirkan, tidak lama selepas itu ia akan berlaku. Dengan mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap penyokong dan masyarakat Johor, menjadikan baginda adalah yang terbaik.

“Tidak ada lagi ucapan lain yang diperlukan untuk mengucapkan terima kasih di atas masa yang kami habiskan bersama-sama dengan banyak meraih gelaran yang dijuarai.”

Morais dilantik menjadi pengurus dan  jurulatih JDT Jun tahun lalu menggantikan Benjamin Mora.

Pelbagai kejayaaan dan trofi dirangkul JDT sejak musim lalu termasuk juara Liga Super, Piala Malaysia, Piala Sumbangsih (2018).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *