Bakar Rumah Mertua Sebab Isteri Tak Nak Balik

Seorang lelaki bertindak membakar rumah bapa mertuanya dengan membaling botol berisi petrol.

Memetik Harian Metro, kejadian berlaku di Kampung Melikai, Menumbok, Beaufort, pada jam 10.05 malam Khamis lalu. Difahamkan, suspek, 34, bertidak demikian akibat berang selepas isterinya enggan pulang ke rumah.

Kejadian menyebabkan pintu rumah dan kerusi terbakar, manakala lapan penghuni termasuk isteri dan dua anak suspek bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ketika pengadu (isteri suspek) menonton televisyen bersama kakaknya di rumah bapa mereka, tiba-tiba terdengar pintu dibaling sebelum api marak menyebabkan mereka menjerit dan berlari keluar untuk memadam kebakaran.

“Tiada sebarang kecederaan berlaku ke atas semua penghuni di rumah itu dan api berjaya dipadam,” kata Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak.

Tambahnya, hasil pemeriksaan di lokasi menemui dua botol berisi petrol.

“Hasil soal siasat ke atas saksi mengatakan melihat seorang lelaki yang dikenali datang ke rumah pengadu 9.50 malam dalam keadaan mencurigakan. Lelaki itu adalah suami kepada pengadu.

“Siasatan lanjut mendedahkan pengadu dan suaminya mempunyai masalah rumah tangga dan dalam proses perceraian.

“Suspek sebelum ini pernah memukul isteri dan mengugut untuk mati bersama jika tidak mahu pulang bersama suspek,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *