Barisan Kepimpinan Pakatan Pembangkang Bakal Pincangkan Negara – Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi dua senario barisan kepimpinan pakatan pembangkang yang bakal pincangkan negara jika pakatan itu dapat merampas tampuk pemerintahan negara kelak.

Perdana Menteri membayangkan pembangkang akan kekal sibuk berebut jawatan perdana menteri selama lebih dua tahun pemerintahan sebelum mereka dapat memulakan kerja untuk berkhidmat kepada rakyat.

Namun jika rakyat memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN), gagasan itu dapat memulakan khidmat bakti untuk rakyat serta-merta selepas pilihan raya kerana mempunyai barisan kepimpinan yang kukuh lagi mampan, katanya menerusi catatan terkini di blog NajibRazak.com bertajuk ‘Kepimpinan Pakatan Pembangkang Bakal Pincangkan Negara’.

Perdana Menteri berkata setelah perbalahan sengit saban tahun berebut kuasa, pembangkang akhirnya meletakkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, masing-masing sebagai calon perdana menteri serta timbalan perdana menteri.

Namun, katanya pencalonan pihak pembangkang kali ini sebenarnya menunjukkan betapa rapuhnya kepimpinan tertinggi mereka sekiranya dibiarkan memerintah.

Najib berkata hal ini kerana calon perdana menteri mereka iaitu Dr Mahathir dikatakan hanya sementara sahaja kerana jawatan tersebut akan diserahkan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah beliau dibebaskan.

Membayangkan dua senario yang boleh berlaku, Najib berkata pertamanya, Dr Mahathir tidak akan melepaskan jawatannya kepada Anwar kerana umum mengerti bekas perdana menteri itu menganggap semua pemimpin lain tidak betul.

“Memetik kata-kata Tun (Dr Mahathir) pada 2016, tidak mungkin beliau akan membenarkan seorang yang bermasalah moral menjadi perdana menteri.

“Malah Tun juga pernah mengatakan yang Datuk Seri Anwar sudah terlalu tua untuk memimpin negara dan pastinya PKR akan memberontak sekiranya Tun (Dr Mahathir) memilih untuk membolot kuasa,” kata perdana menteri.

Senario kedua, kata Najib: “Kalaulah Tun Dr Mahathir memilih untuk U-turn dan melepaskan jawatan beliau kepada Anwar sekalipun, akibatnya jawatan perdana menteri dan timbalannya, akan disandang oleh sepasang suami isteri.

“Inilah nepotisme tahap paling kritikal yang diamalkan mereka. Dan sudah tentu rakyat akan memberontak struktur kepimpinan seolah-olah mereka merajai Malaysia,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *