Asyik Kena Bahan, Akhirnya Billa AF Nekad Turun Berat Badan

Lama tidak mendengar kisah bekas peserta Akademi Fantasia, Nurnajmi Nabila Samsaidi atau dikenali sebagai Billa. Diam-diam rupanya gadis berusia 22 tahun itu sedang dalam proses menurunkan berat badan. 


Pemenang tempat ketiga AF 2015 itu mengambil keputusan untuk kurus setelah ditegur oleh peminatnya. 

Foto: Ig billa_najmi

Menurut Billa, dia mengamalkan diet dan melakukan senaman bermula sejak tahun lepas. 

“Alhamdulillah saya rasa syukur sangat sebab berjaya kurangkan 24 kg.

“Memang saya sendiri tak sangka, usaha susah payah saya selama tujuh bulan rasa berbaloi dan puas hati.


“Terus-terang saya kata tak mudah untuk kuruskan badan. Saya sendiri dah rasa betapa sukarnya mahu turunkan berat.

“Saya berazam untuk sihat dan saya kurus bukan untuk siapa-siapa. Untuk diri sendiri juga.


“Ada juga beberapa kenangan yang membuatkan saya menjadi nekad untuk kurus antaranya sering disalah sangka sudah berkahwin dan juga panggilan kakak walaupun mereka sebenarnya lebih muda pada saya,” katanya dipetik daripada Astro Gempak.


Mahu kekal sihat, Billa turut berkongsikan ilmu diet yang diamalkan olehnya. 


“Air manis, itu perkara pertama yang saya lakukan dulu.

“Saya akui memang saya gemarkan air manis, kalau keluar makan tidak sah kalau tak ada dua tin air berperisa. 

“Dua minggu pertama memang susah tapi lama-kelamaan saya dah biasa.


“Saya juga sering lakukan yoga dan atas bantuan peminat saya yang juga merupakan ‘coach’ senaman yang saya gelarkannya sebagai Aunty.

“Dia adalah penyebab saya mahu turunkan berat dan saya berjaya lakukannya. 

“Ternyata banyak perubahan yang saya rasakan selepas berat saya susut dari 140.8 kg kepada 116.8 kg.

“Antaranya stamina saya semakin bagus dan tidak mengah ketika menaiki tangga,” jelasnya.


Untuk perkembangan terbaru, Billa kini sedang dalam proses mengeluarkan album mini pertamanya tidak lama lagi. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *