Bayangkan Jika Semua Mereka Menyumbang Dana…

Sukar untuk difahami bagaimana Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup untuk mengeluarkan video berdurasi 49 saat hanya untuk merayu sumbangan derma dari para penyokong dan rakyat yang bersimpati atas perjuangannya. Malah, tindakannya ini turut diikuti oleh anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Manakan tidak, umum sedia maklum bahawa Mahathir dan juga anak-anaknya adalah antara orang terkaya di Malaysia dengan penguasaan lebih 400 buah syarikat samada di dalam mahupun di luar negara. Sepatutnya, jika dia benar-benar mahu menggerakkan parti politiknya serta keinginan kuat untuk menyelamatkan Malaysia, kenapa tidak menggunakan sedikit harta yang menimbun itu untuk menggerakkan kempennya?

Ini bukan cerita kosong kerana menerusi satu pendedahan di laman sosial milik Jabatan Pengangkutan Jalan, salah seorang anaknya mempunyai sebuah kereta yang begitu terhad pengeluarannya di dunia. Malah, di Malaysia, kereta berkenaan hanya ada 3 buah sahaja di mana setiap satu bernilai RM 8 juta. Kenapa kereta boleh dibeli sedangkan membantu bapanya tidak boleh?

Di samping itu juga, Mahathir turut dikenali dengan penguasaannya terhadap para kroni yang menjana kekayaan luar biasa sepanjang 22 tahun pentadbirannya. Bayangkan, seandainya kroni-kroni yang rapat dengannya menyumbang kira-kira RM 20 juta setiap seorang, bukankah ianya jauh dari mencukupi untuk berkempen dan meletakkan kesemua 52 calonnya pada Pilihan Raya Umum ke 14 kelak?

Dalam banyak ceramah dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mahathir dan PPBM, mereka kerap kali menyebut hasrat mereka untuk menyelamatkan negara. Malah, mereka juga mendakwa, rakyat hari ini begitu tertekan dengan keadaan ekonomi semasa dengan perlaksanaan cukai yang mereka dakwa kononnya menekan rakyat.

Justeru, di mana logiknya apabila mereka ini meminta derma daripada rakyat kononnya membantu mereka menumbangkan kerajaan sedia ada? Bukankah tindakan ini akan menambah beban kepada rakyat yang dakwa mereka kononnya tertekan dan hidup menderita akibat desakan ekonomi? Kenapa tidak Mahathir mengeluarkan belanjanya sendiri membantu rakyat yang kononnya memerlukan?

Apa yang diperhatikan, Mahathir sebenarnya cuba membodohkan rakyat menerusi apa yang dipanggil sebagai sumbangan derma membantu PPBM dan Pakatan Harapan menumbangkan kerajaan. Manakan tidak, Mahathir sedar, bagi golongan B40, mereka baru sahaja menerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan oleh yang demikian, inilah peluang terbaik Mahathir untuk mengikis wang yang sepatutnya digunakan oleh rakyat bagi meringankan beban mereka.

Bagi Mahathir dan PPBM, apa sahaja yang diperolehi rakyat, wajar untuk mereka kutip semula atas alasan membantu rakyat yang kononnya menderita. Hakikatnya, Mahathir mempunyai begitu banyak sumber kewangan yang boleh membantunya dan Pakatan Harapan dalam mengharungi Pilihan Raya Umum ke 14. Kenapa mesti menyusahkan rakyat dengan kutipan derma sedemikian?

Bayangkan, dia boleh sahaja terbang dengan menggunakan pesawat peribadi yang kononnya ditaja walaupun hanya mahu membeli popiah di Alor Setar, Kedah, tetapi tidak mampu untuk menjana wang untuk melicinkan kempen PPBM dan Pakatan Harapan. Adakah ini logik? Adakah ini yang dinamakan usaha meringankan beban rakyat dan mahu menyelamatkan Malaysia?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *