Pemimpin Muda MIC Santuni Penduduk Cina Beri Sinar Sambut Tahun Baru Cina

Share This:

Barisan Nasional (BN) seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum lain dalam apa sahaja perkara terutamanya kebajikan rakyat. Bukan hanya Najib seorang yang prihatin dan turun padang bertemu dengan rakyat di seluruh negara tapi ramai pemimpin dari parti komponen yang komited menjalankan peranan berkenaan kepada rakyat.

Hari ini, Penasihat Putera MIC Teluk Kemang, Dineshwaran T Rajagopalu meluangkan masa menziarahi 10 keluarga berbangsa Cina yang kurang berkemampuan atas anjuran Pergerakan Wanita UMNO Teluk Kemang diketuai oleh Ketua Wanita Bahagian Teluk Kemang Safiah Sidek dan Ahli Jawatankuasa beliau.

Wanita UMNO diwakili oleh Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Bahagian Teluk Kemang, Noraini Ismail, Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Cawangan Taman Tanjung, Ramlah Arifin dan Ketua Wanita UMNO Cawangan Kampung Paya Baru Zabedah Abd Rahman.

“Kami menziarahi 10 buah keluarga di sekitar Kampung Paya, Kampung Gelam, Kampung Chokra dan beberapa kampung lain.

“Kami turut memberikan barangan keperluan bernilai RM50 untuk setiap keluarga untuk meringankan beban mereka ketika perayaan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang hujung minggu ini,” kata Dineshwaran.

Dalam lawatan menyantuni masyarakat Cina itu, beliau yang juga Ketua Putera MIC Bahagian Rasah turut mendengar dan mengenalpasti masalah yang dihadapi mereka dan dibantu mencari penyelesaian.

Sementara itu, pada 9 Februari lepas Dineshwaran turut menziarahi 10 buah keluarga berbangsa Cina yang kurang berkemampuan sekitar kampung yang sama di Port Dickson untuk menyantuni mereka sempena perayaan berkenaan.

“Saya melawat mereka atas kapasiti saya selaku Pengerusi Persatuan Kepimpinan Pendidikan Graduan dan saya turut disertai oleh Ketua Kampung Air Meleleh, Haji Osman, Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Kampung Air Meleleh, Encik Alias, dan Pengerusi Putera MIC Teluk Kemang, Sargunan,” kata beliau.

Dineshwaran tidak pernah ketinggalan membuat lawatan ramah mesra bersama penduduk di sekitar Port Dickson sebagai satu tanggungjawab sebagai pemimpin muda untuk mendengar masalah rakyat khususnya apabila tiba sesuatu musim perayaan.

Beliau bersama mereka yang menyertai program turut mengagihkan barang keperluan harian kepada keluarga berkenaan untuk meringankan sedikit beban mereka.

“Lawatan kali ini dibuat untuk memberikan sedikit kegembiraan kepada keluarga berkenaan sempena sambutan Tahun Baru Cina.

“Kami turut menyampaikan sumbangan berbentuk barang keperluan yang mereka boleh gunakan untuk perayaan berkenaan,” katanya.

Apa yang berbeza ialah, Dineshwaran akan meluangkan sedikit masa bersama keluarga yang dilawatinya untuk mendengar masalah yang mereka hadapi berkaitan pekerjaan, pendidikan anak-anak, perumahan dan kesihatan untuk dibantu.

“Kami turut mengambil peluang untuk memaklumkan kepada penduduk berkenaan faedah dan inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Persekutuan untuk rakyat di Port Dickson serta prosedur untuk mendapatkan kemudahan yang ada,” katanya.

Dineshwaran turut mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua yang meraikannya di negara ini.

“Semoga tahun ini akan dipenuhi dengan kebaikan, kekayaan dan kesihatan yang baik,” katanya.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*