#PRU14 : Portal Mesra Pakatan Digunakan Pengaruhi Emosi Pengundi Johor

Share This:

Pakatan Harapan (PH) kini sedang menggunakan portal di media sosial yang pro-PH untuk mula manipulasi emosi serta mood pengundi untuk mempengaruhi keputusan undi mereka pada PRU14 nanti di negeri-negeri yang menjadi tumpuan pakatan itu.

Dua negeri nampaknya begitu didambakan oleh PH iaitu Selangor dan Johor. Banyak liputan portal mereka bercerita bagaimana mereka boleh menawan Johor melalui beberapa kerusi Parlimen tertentu padahal mereka memandang rendah sokongan rakyat negeri Johor kepada Barisan Nasional (BN).

Dalam laporan portal The Malaysian Insight (TMI), penyokong PH yakin mereka hanya memerlukan sedikit undi dari bangsa Melayu untuk memenangi kerusi Parlimen Muar. Penyandang kerusi Parlimen Muar juga bukan calang-calang, iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Beliau sudah dikenali sebagai simbol kekuatan anak muda dan belia dalam politik sejak lama. Orang Melayu di Muar begitu kukuh menyokong beliau dan bakal terus mengundi beliau jika Razali bertanding di kerusi Parlimen Muar pada PRU14 nanti.

Dalam laporan TMI itu, PH percaya bahawa pembangkang memerlukan sekurang-kurangnya lima peratus saja pertambahan undi Melayu untuk menawan kerusi Parlimen Muar. Berdasarkan data pengundian daripada PRU13, 5% diterjemahkan kepada kira-kira 1,485 undi.

Analisis itu berdasarkan pada trend pengundian tiga pilihan raya umum lalu yang menunjukkan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) yang semakin menurun sejak ia memegang kerusi itu pada 1974.

Menurut seorang Aktivis Pakatan, Norhayati Bachok, beliau tidak menganggap perkara itu mustahil dengan penerimaan baik yang diterima di kampung yang menjadi kubu kuat penyokong BN.

“Mereka membenarkan kami masuk dan itu adalah satu petanda yang baik. Kami juga menerima maklum balas yang baik daripada peniaga pasar tani dan pelawat ketika kami mengadakan lawatan di sana,” katanya yang merupakan Ketua Wanita PAN Johor.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAN Muar, Ishak Abu Bakar pula yakin dengan kemungkinan itu, kononnya Muar akan tewas dan jatuh ke tangan pembangkang.

“Pada PRU 13, kami menerima 80% undi daripada pengundi Cina dan hanya sekitar 38% hingga 45% sahaja daripada pengundi Melayu,” kata guru bersara berusia 62 tahun itu.

“Kami memerlukan 5% atau lebih sedikit untuk mengalahkan BN,” kata Ishak.

Tetapi Ishak tahu orang Melayu Johor adalah penyokong kuat BN, terutamanya Umno.

Umno dilahirkan di Johor, ketika lebih 40 pertubuhan Melayu mengadakan perhimpunan agung tahunan pertama parti itu di Johor Baru.

Tahap sokongan Umno di kalangan orang Melayu di luar bandar Melayu sangat tinggi walaupun pada PRU13, ketika Pakatan Rakyat (PR) pada masa itu memperoleh keputusan pilihan raya yang terbaik, hanya segelintir calon PR di kawasan timur Johor hilang wang deposit pilihan raya.

Sebenarnya kenyataan dari pemimpin PAN Johor itu adalah cubaan untuk mempengaruhi kepimpinan PH supaya beri mereka kerusi Parlimen Muar untuk ditandingi kerana PAN di negeri Johor hanya dapat dua kerusi Parlimen sahaja dan mereka tidak puas hati.

“Kami minta lima kerusi Parlimen tapi dapat dua sahaja, Parit Sulong dan Pulai,” kata Pengerusi PAN Johor Aminolhuda Hassan. PAN Johor juga boikot Konvensyen PH di Shah Alam yang pada program itu, Mahathir Mohama diumumkan sebagai calon Perdana Menteri PH.

Kalau berhasil dengan hasutan nakal ini, kepimpinan PH akan memberikan kerusi Parlimen Muar kepada PAN menjadikan mereka ada tiga kerusi.

Sentimen sokongan kepada BN semakin kuat di Johor dan kemungkinan ada parti yang dulu ada hanya satu kerusi Parlimen iaitu di Johor mungkin bakal hilang kerusi itu atau gagal menang sebarang kerusi di negeri itu iaitu PPBM. Satu kerusi PPBM ialah Parlimen Pagoh disandang oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pembangkang pilih untuk main api di Johor dan mereka bakal terbakar dengan permainan mereka sendiri di Johor pada PRU14 nanti.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*