PM Dan TPM Rasa Kehilangan Pemergian Ahli Parlimen Paya Besar

Share This:

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui amat terasa dengan kehilangan Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Seri Abdul Manan Ismail yang meninggal dunia petang semalam

Ini kerana kata beliau, Allahyarham begitu rapat sekali dengannya dan berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit sewaktu beliau menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan.

“Saya amat kenali begitu rapat dan lama. Saya tahu, bila dia jadi wakil rakyat, beliau telah menjalankan tugas dengan dedikasi dan begitu baik,” katanya.

Menurut Najib, Allahyarham telah memberi banyak sumbangan kepada rakyat dan juga dirinya.

“Saya terasa sangat dengan ketiadaan beliau bukan sahaja sebagai Ahli Parlimen tetapi sahabat yang begitu rapat dengan saya dan keluarga,” kata Najib kepada media selepas menziarahi jenazah arwah di Taman Melawati malam tadi bersama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Allahyarham pernah bertugas dengan Najib selama 18 tahun iaitu dari 1986 hingga 2004 sebelum dipilih sebagai wakil rakyat.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan beliau amat mengenali arwah Abdul Manan begitu juga dengan keluarganya.

“Beliau merupakan rakan sepejabat saya ketika beliau jadi Setiausaha Sulit kepada Menteri Belia dan Sukan iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya waktu itu setiausaha politik Datuk Seri Najib dan hubungan kami sangat rapat sebagai rakan sepejabat dan beliau sebagai Ahli Parlimen, beliau bekerja rapat dengan saya kerana diberi tanggungjawab tertentu yang melapor kepada saya sebagai Ketua Whip BN,” katanya selepas menziarah jenazah Abdul Manan.

Menurut Zahid, anak-anaknya juga rapat dengan beliau.

“Saya mendoakan agar roh Allahyarham ditepatkan dikalangan orang-orang yang beriman,” katanya lagi.

Sementara itu Pengerusi BNBBC Tan Sri Shahrir Samad menyifatkan Allahyarham adalah seorang Ahli Parlimen yang komited dengan tugasnya.

Katanya, Abdul Manan sentiasa hadir ketika persidangan dan selalu mengambil bahagian di dalam perbahasan dan sesi soal jawab.

Katanya Allahyarham cukup disenangi kerana sikap ‘cool’ dan mudah berseloroh.

Shahrir yang juga Pengerusi FELDA berkata, Allahyarham dilantik sebagai Pengerusi Yayasan FELDA sejak 8 bulan lalu.

Sementara itu, wakil keluarga Allahyarham, Kamaruzaman Ahmad memaklumkan urusan jenazah akan dilaksanakan esok bermula dari jam 8 pagi di Masjid Hidayah, Taman Melawati, Kuala Lumpur.

“Urusan ziarah dijangkakan bermula dari jam 10 pagi dan seterusnya pengkebumian di Tanah Perkuburan Klang Gate dijangka dalam pukul 11:30 pagi.

“Semoga roh Allahyarham disemadikan di kalangan orang-orang beriman. Amiin,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu turut hadir Yang di-Pertua Negeri Melaka yang juga Bekas Menteri Besar Pahang Tun Khalil Yaakob, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammudin Hussein dan Menteri Wilayah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*